PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila rumahnya di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur terbakar awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba (PgB) Roshdi Fitri Roslan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.41 pagi sebelum menghantar jentera ke tempat kejadian.
Ujarnya, kekuatan anggota seramai 22 orang daripada Balai Bomba Penyelamat (BPP) Sungai Besi, Bandar Tun Razak, Sri Petaling, dan Seputeh digerakkan ke lokasi terbabit bersama tiga buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Perkhidmatan Penyelamatan, jentera Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat satu berkeluasan 280 kaki persegi dan anggaran peratus kebakaran adalah sebanyak 70 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan seorang mangsa lelaki warga emas mengalami kecederaan melecur 20 peratus.
“Tindakan pasukan bomba mengunakan teknik pemadaman secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ telah berjaya mengawal kebakaran dari kemusahan yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Gara-Gara Main Meriam PVC, Kanak-Kanak Melecur Muka Dan Dada Disambar Api
PADANG TERAP: Seorang kanak-kanak cedera di muka dan dada akibat disambar api selepas meriam batang paip buatan sendiri meletup di Kampung Ulu, Padang Sanai di sini pada 13 April lalu.
Mangsa yang berusia 12 tahun mengalami kecederaan tersebut ketika bermain meriam sejauh lima meter dari rumahnya kira-kira pukul 6.55 petang.
Akibat kecederaan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Mangsa memberitahu, dia sebelum itu memasukkan bahan bakar iaitu karbaid dan air ke dalam batang paip sepanjang satu meter tersebut.
Bagaimanapun katanya, meriam tersebut mengeluarkan api dan meletup sejurus selepas dia menyalakan api dengan menggunakan pemantik api.
“Kejadian itu menyebabkan bahagian muka, dada dan sebahagian rambut saya terbakar kerana disambar api dalam kejadian itu. Saya juga menjerit kesakitan sambil meminta pertolongan sebelum ke tandas untuk membasuh muka kerana terlalu panas.
“Selepas beberapa minit, bahagian badan yang disambar api itu juga melepuh sehingga menakutkan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ulu, Padang Sanai di sini hari ini.
Mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu, ibunya yang berada di dapur untuk membuat persediaan berbuka puasa bergegas keluar dan terkejut dengan kejadian tersebut.
Katanya, ibunya kemudian membawanya ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapat rawatan sebelum dihantar ke HSB kerana kecederaan yang dialami serius.
“Selepas mendapat rawatan selama dua hari, kecederaan yang saya alami termasuk penglihatan saya semakin pulih. Saya juga dinasihatkan oleh doktor supaya tidak bermain di luar rumah terutamanya pada waktu panas kerana kulit yang terbakar itu akan merasa pedih,” katanya.
Mangsa berkata, dia mengakui tidak tahu tindakannya bermain meriam batang paip buatan sendiri boleh mengundang bahaya.
“Selepas kejadian itu, saya serik dan tidak mahu bermain meriam buatan sendiri lagi selepas ini kerana bimbang tragedi itu akan berulang,” jelasnya.
SUMBER : KMN