Sebuah Pesawat Ringan Terhempas. 16 Penumpang Maut.

| October 10, 2021 | 0 Comments

Sebuah Pesawat Ringan Terhempas. 16 Penumpang Maut. | MOSCOW – Sebuah pesawat ringan yang membawa sekumpulan penerjun udara terhempas di Rusia dan membunuh 16 penumpang serta mencederakan enam yang lain, kata Kementerian Kecemasan.

Pesawat enjin berkembar jenis L-410 yang membawa 22 individu itu dilaporkan terhempas pada pukul 9.23 pagi (waktu tempatan) berhampiran dengan bandar Menzelinsk di Republik Tatarstan.

“Enam individu telah diselamatkan manakala 16 lagi dilaporkan meninggal dunia,” kata kementerian tersebut pada saluran Telegram.

Berdasarkan beberapa imej yang dikongsikan kementerian, bangkai pesawat kelihatan terputus dua.

Sementara itu, Presiden Tatarstan, Rustam Minnikhanov yang turut bergegas ke lokasi kejadian berkata, juruterbang melaporkan berlakunya kerosakan enjin dan membuat pendaratan cemas sejurus berlepas.

“Juruterbang cuba untuk mengelakkan pesawat daripada mengenai kawasan perumahan ketika ia cuba membuat pendaratan cemas, namun keadaaan ketinggian tidak membenarkan situasi itu berlaku,” katanya.

Sayap pesawat tersebut mengenai sebuah van yang sedang diparkir sebelum ia terbalik.

Susulan nahas tersebut, pasukan penyiasat Rusia melancarkan siasatan jenayah terhadap kemungkinan berlakunya pelanggaran peraturan keselamatan. – AFP

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *