Lapan Beranak Terputus Bekalan Makanan, Hanya Mampu Bakar Lokan Yang Dikutip Belakang Rumah Untuk Isi Perut | Selepas terputus bekalan makanan selama beberapa hari, keluarga ini terpaksa memacakkan bendera putih kerana mereka tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.
Mereka sekeluarga yang membabitkan lapan beranak terpaksa makan lokan bakar yang dikutip di sungai belakang rumah untuk mengisi perut selama beberapa hari. Empat daripada mereka yang tinggal di Kampung Serkong di sini yang bekerja kampung tidak dapat bekerja sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) awal bulan lalu.
Nik Kamarudin Nik Ibrahim, 27, berkata dia yang bekerja sebagai pengutip besi buruk sudah lama tidak bekerja dan bagi menyara isteri serta dua anak, dia bersama tiga abangnya mencari lokan serta ketam di sungai belakang rumah mereka.
Namun beberapa minggu yang lalu, perahu yang mereka gunakan telah bocor. Dengan itu mereka tidak dapat untuk turun ke sungai untuk menangkap ketam bagi menjualnya dan juga makan sendiri. Mereka adik-beradik tidak tahu kerja apa lagi yang mereka boleh lakukan kerana mereka semua hanya bekerja kampung dan mempunyai tanggungan masing-masing.
Segala wang simpanan mereka telah habis digunakan. Apabila beras hanya tinggal segenggam, isterinya berhasrat untuk membuat bubur. Maka mereka menebalkan muka dengan memacak bendera putih sebagai ikhtiar terakhir.
Nik Kamarudian berkata, isterinya juga terpaksa membasuh lampin pakai buang anak lelakinya yang berumur tiga tahun sebelum disumbat kain untuk dipakaikan semula pada waktu malam manakala siang harinya hanya dibiarkan tanpa memakai lampin.
Beliau yang kudung dua jari akibat kemalangan ketika bekerja di kilang elektronik 10 tahun lalu berkata, selepas dua hari ‘bendera’ putih berkibar, tiada yang datang membantu menghulurkan bantuan. Susulan itu, beliau mengambil keputusan menjual sebuah basikal kepada penduduk kampung dengan harga RM30 untuk membeli makanan.
Tambahnya lagi, selepas berita mengenai keluarganya kelaparan mulai tersebar, beberapa pihak daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan tampil menghulurkan bantuan. Buat masa ini, bekalan makanan dan lampin pakai buang anak masih banyak dan mungkin cukup untuk tempoh sebulan. Mereka hanya risau sekiranya keadaan ini berlanjutan dan mereka terus menganggur.
Perahu mereka juga masih belum dibaiki kerana tidak mempunyai wang untuk membeli peralatan. Mereka juga meluahkan rasa dengan mengatakan bahawa sehingga bila mereka perlu meminta-minta kerana mereka semua masih mempunyai kudrat untuk bekerja tetapi keadaan yang membuatkan keluarga mereka berada dalam keadaan terdesak.
Sumber: Berita Harian