Selepas 47 Hari Hilang Akhirnya Terjawab Apabila Penemuan Sebuah Kubur. | Kluang: Selepas 47 hari hilang akhirnya misteri kehilangan seorang pesara polis sejak 31 Ogos lalu terungkai dengan penemuan sebuah ‘kubur’ sedalam 0.9 meter di dalam kebun kelapa sawit di Batu 26, Kahang awal pagi semalam.

Anak mangsa, Jacky Su Kai Lun, 32, ketika ditemui berkata keluarganya kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pengecaman mayat bapanya Su Kim Chiang, 57, yang sudah reput ketika ditemui.

Katanya, semalam pihak polis ada memaklumkan kepada keluarganya mengenai penemuan jasad dipercayai ayahnya yang dilaporkan hilang di sebuah kebun kelapa sawit namun tidak memberitahu maklumat lanjut.

“Hari ini saya dan keluarga termasuk emak hadir ke HSA untuk proses pengecaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Kai Lun, keluarganya turut dimaklumkan bahawa motosikal bapanya masih belum dijumpai dan proses pencarian masih dilakukan.

“Semalam sekitar jam 3 petang saya ke lokasi kubur yang terletak di sebuah kebun milik orang lain itu bersama ahli keluarga dan orang kampung yang menunjukkan lokasinya.

“Hari ini di HSA kami menerima ziarah Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang meminta kami bersabar dan menunggu hasil bedah siasat,” katanya.

Kai Lun berkata, ahli keluarga terutama sekali ibunya sedih menerima khabar ini namun lega kerana pencarian mereka berakhir sekiranya mayat itu adalah bapanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng yang dihubungi untuk mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan akan memberi kenyataan media dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan kehilangan Kim Chiang, pada 31 Ogos lalu namun usaha menjejaki mangsa menemui jalan buntu.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply