Covid-19: PKPB Di Labuan Mulai Lusa Hingga 30 Oktober | Putrajaya: Labuan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula lusa hingga 30 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di Wilayah Persekutuan itu sejak akhir-akhir ini.

Katanya, perkara itu diputuskan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

Justeru seperti di Selangor, beliau berkata, semua sektor dan aktiviti berkaitan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa, termasuk industri perkilangan dan perkapalan.

“Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, namun mereka yang ada kecemasan ataupun pekerja boleh mendapatkan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pengangkutan udara dibuka seperti biasa tetapi mereka yang ingin merentas negeri juga perlu mendapatkan kebenaran daripada PDRM.

“Pengangkutan air seperti feri roro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan setakat jam 6 petang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Walaupun pelabuhan dibuka, Ismail Sabri berkata, perkhidmatan kapal perdagangan tukar barang adalah tidak dibenarkan kerana datang dari negara jiran.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply