Sempat Bergurau Sebelum Ditemui Lemas Jatuh Tali Air | Seorang datuk tidak menyangka gurauan manja bersama cucunya berebut alat kawalan jauh berakhir menjadi kenangan terakhir sebelum cucunya ditemui lemas di tali air pada petang Isnin.

Sempat Bergurau Sebelum Ditemui Lemas Jatuh Tali Air

Kota Bharu: Kejadian yang berlaku di tali air di Kampung Jambu Merah, Melor melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun. Che Mohd Noor Awang, 61, berkata, khabar duka itu diketahuinya selepas dia selesai menunaikan solat fardu asar.

Katanya, bagaimanapun isterinya, Roslia Mahmud,55, terlebih dahulu mengetahui kejadian yang menimpa cucunya, Muhammad Huffaz Wafri Mohd Zulfika.

“Namun dia rahsiakan dahulu kerana bimbang kesihatan saya yang menghidap penyakit lemah jantung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Jambu Merah di sini.

Jelasnya lagi, sebelum kejadian yang menimpa Muhammad Huffaz Wafri ada datang meminta alat kawalan jauh untuk menonton televisyen. Namun, tidak diberikannya kerana televisyen itu baru sahaja dibaik pulih selepas tetapannya berubah dan menyebabkan isyaratnya gagal berfungsi.

Che Mohd Noor berkata, cucunya itu kemudiannya diminta untuk bersama dengan neneknya kerana dia ingin berehat sebentar. Dalam pada itu, dia berkata kemungkinan cucunya keluar dari rumah itu ketika isterinya sedang terlelap.

Kejadian itu kemudiannya disedari oleh isterinya selepas jiran mereka datang ke rumah memeberitahu mengenai kejadian itu. Menurutnya, cucunya itu ditemui lemas dan terapung di tali air yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Dalam kejadian itu, ibu bapa Muhammad Huffaz Wafri dikhabarkan sedang dalam perjalanan pulang dari Sungai Buloh ke Kelantan sebaik sahaja menerima khabar duka mengenai kejadian yang menimpa anak mereka itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan pihaknya menerima panggilan laporan berhubung kejadian itu. Katanya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pada jam 4.33 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Kesihatan Mahligai di sini dan disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut mendapati kes itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah malah tiada langsung sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply