Seorang Ibu Terkejut Anaknya Tingkatan 2 Lahirkan Anak . | Baling: Rahsia seorang remaja perempuan yang sarat mengandung terbongkar apabila dia mengadu sukar membuang air besar kepada ibunya ketika berada di rumah mereka di sebuah kampung di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, remaja terbabit yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah dibawa ibunya ke Hospital Baling namun wanita berusia 40-an itu terkejut apabila doktor memberitahu anaknya mengandung dan bakal melahirkan anak.

Selepas dua jam dimasukkan ke hospital, doktor memaklumkan kepada ibunya yang remaja perempuan terbabit disahkan selamat melahirkan bayi perempuan cukup sifat.

Menurut sumber, ibu pelajar berkenaan yang masih terkejut dengan keadaan itu kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki yang anaknya menjadi mangsa rogol sehingga hamil dan melahirkan anak.

“Hasil keterangan yang diambil, wanita terbabit memberitahu anaknya mengadu tidak boleh membuang air besar sebelum dia melihat darah turun melalui kaki remaja terbabit ketika berada di rumah mereka.

“Wanita itu juga mendakwa dia sebelum ini menyedari perubahan bentuk fizikal badan anaknya itu sejak tiga bulan lalu namun remaja berkenaan menafikan dia hamil dan hanya memberitahu berat badannya naik,” katanya.

Sumber berkata, ketika kejadian wanita terbabit juga ada mendakwa yang dia melihat cecair jernih atas tilam di ruang tamu tempat tidur anaknya namun remaja itu memberitahu yang dia terkencing.

“Bagaimanapun, wanita terbabit yang bimbang selepas melihat darah yang meleleh melalui paha anaknya terus membawa remaja berkenaan ke hospital.

“Ketika tiba di hospital ibu pelajar itu baru mengetahui yang anaknya sudah sarat dan selamat melahirkan bayi perempuan,” katanya.

Menurut sumber, susulan daripada laporan polis itu polis mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan dan dia mendakwa ada melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berusia 20-an yang juga tinggal di kampung sama dengannya.

“Mangsa mendakwa dia ada melakukan hubungan seks dengan rela sebanyak tiga kali bersama dua lelaki terbabit sejak Februari lalu selepas mengenali mereka melalui rakan perempuan di sekolahnya.

“Remaja itu bagaimanapun mendakwa dia mengesyaki anak yang dilahirkan itu adalah hasil hubungan seorang daripada lelaki terbabit kerana mendakwa mereka kerap melakukan hubungan seks selepas itu,” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

“Setakat ini, kita masih mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.

Sumber : HM

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

PRU-15: 30 kertas siasatan dibuka, 7 ditahan

Kuala Lumpur: Sebanyak 30 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kesalahan ketika kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sejak 5 November lalu sehingga semalam.

Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak tujuh individu ditahan.

Pengarah Operasi PRU-15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, semua mereka ditahan membabitkan kes yang dilaporkan di Perak, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Menurutnya, sebanyak lima siasatan dibuka di Perak, empat di Negeri Sembilan dan Kelantan, Kedah, Selangor, Pahang dan Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), manakala satu di Melaka, Terengganu dan Sabah.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147, Seksyen 379, Seksyen 427, Seksyen 435, 436, Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Kita turut menyiasat berapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hazani berkata, daripada jumlah yang ditahan seramai tiga individu ditahan di pekarangan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, kerana melakukan pengedaran risalah parti politik.

“Pangkalan TLDM yang diwartakan sebagai kawasan larangan, tiga lelaki itu melanggar peraturan yang ditetapkan kerana mengedarkan risalah politik ke peti surat rumah di kawasan terbabit.

“Semua individu itu diberikan kelulusan masuk pangkalan bagi urusan melawat saudara sahaja, namun kesemua mereka melakukan aktiviti pengedaran risalah politik tanpa sebarang kelulusan dari pihak TLDM,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Hazani berkata, sebanyak 1,522 permit ceramah dikeluarkan PDRM di 14 kontinjen seluruh negara.

Katanya, kontinjen paling banyak permit dikeluarkan iaitu Sabah dan Sarawak dengan 265 diikuti Kedah (158) dan Kelantan (122).

“Hanya satu ceramah politik yang dikesan dijalankan tanpa permit di Sarawak, semalam,” katanya.

Share.

Leave A Reply