Seorang [email protected] Dalam Letupan Paip Gas Di Sarawak. | LAWAS: Letupan paip gas Petronas di jajaran Long Ugui ke Long Sukang di sini menyebabkan seorang maut, manakala tiga lagi melecur.

Mangsa yang maut merupakan pemandu jentera jengkaut warganegara Indonesia manakala tiga yang cedera adalah warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar jam 2.10 petang.

“Mangsa pertama berada di dalam jengkaut, dan jarak dia dengan tiga mangsa lain sekitar 200 meter,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Siasatan awal mendapati, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kebocoran paip.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian tersebut sekitar jam 2.49 petang.

“Pihak kita telah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Lawas oleh kakitangan kontraktor pembinaan, di mana paip itu meletup.

Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihaknya sedih dengan tragedi yang berlaku.

“Saya menyeru pihak Petronas supaya memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

“Ini adalah sesuatu yang pernah berlaku dahulu, dan saya telah meminta pihak Petronas mengambil tindakan sewajarnya agar tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahaguan Limbang, Sebi Abang berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak bomba dan Petronas untuk menyediakan laporan awal yang berlaku pada kadar segera.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kejadian,” tambahnya lagi.

Ketika ini katanya, insiden tersebut telah terkawal dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi.

Sumber : Astro

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

Cucu menangis minta nenek tolong, dakwa dipaksa jadi scammer di Myanmar

IPOH: Niat untuk mencari peluang kerja di Thailand, bagaimanapun dipercayai diperdaya oleh rakannya sehingga terkandas dan dipaksa menjadi scammer atas talian di Myanmar.

Itu yang didakwa terjadi kepada seorang lelaki berusia 19 tahun dari Ipoh yang dikenali sebagai Yang.

Mangsa dikatakan sudah terkandas di negara itu sejak Mei lalu dan mendakwa dirinya juga dipukul oleh anggota sindiket pemerdagangan manusia itu, jika tidak mencapai sasaran keuntungan yang ditetapkan.

Menurut Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan, pada Mei lalu mangsa memaklumkan kepada neneknya yang dikenali sebagai Chong bahawa dia mahu bekerja di Kuala Lumpur.

Namun setelah enam bulan terputus hubungan, neneknya menerima panggilan daripada cucunya menerusi Facebook Messenger pada Isnin lalu, bahawa dia terkandas di Myanmar.

“Cucunya menangis meminta tolong kepada neneknya kerana sudah terperangkap dan diperdaya bekerja sebagai scammer atas talian di negara Myanmar sejak lima bulan lalu.

“Melalui Facebook Messenger dia meminta neneknya membuat laporan polis untuk menyelamatkannya.

“Kita berusaha menghubungi mangsa dan mangsa memberitahu dia berada dalam keadaan selamat.

“Bagaimanapun mangsa mendakwa pernah dipukul dengan kayu renjatan elektrik kerana tidak dapat memenuhi sasaran melalui aktiviti scammer atas talian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung isu tersebut di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Guo Nan berkata mangsa dikatakan diperdaya oleh rakannya yang memberitahu ada peluang kerja di Thailand, namun secara tiba-tiba dibawa ke Myanmar secara tidak sah.

“Mangsa ada memberitahu bahawa majikan meletakkan syarat dengan perlu membayar wang pampasan RM115,000 jika mahu pulang,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pihaknya tampil membantu menyelesaikan kes tersebut dengan menghantar surat kepada Polis ASEAN (ASEANAPOL), Polis Antarabangsa (Interpol) dan kedutaan di Myanmar.

Guo Nan turut berharap pihak yang terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelamatkan mangsa dan membawanya pulang ke tanah air secepat mungkin.

Share.

Leave A Reply