Seorang Lelaki Mahu Sebar Covid-19 Dipukul Penduduk Kampung.

| July 25, 2021 | 0 Comments

Seorang Lelaki Mahu Sebar Covid-19 Dipukul Penduduk Kampung. | JAKARTA – Seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 di Indonesia bertindak di luar kawalan apabila melarikan diri dari pusat kuarantin dengan niat mahu menyebarkan wabak itu kepada penduduk kampungnya, lapor laman Digtara.com.

Salamat Sianipar, 45, dikatakan sengaja meludah ke atas tapak tangan untuk menyebarkan Covid-19 kepada penduduk kampung Pardomuan, Silaen, Toba di Sumatera Utara.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, kelihatan orang ramai memukul Salamat dengan menggunakan kayu.

“Suami saya cuba untuk menyebarkan virus Covid-19 kepada orang ramai jadi dia terpaksa dipukul,” kata isteri Salamat, Risma Sitorus.

Pada 21 Julai lalu, Salamat telah melarikan diri daripada pusat kuarantin dan pulang ke rumah akibat tertekan kerana dijangkiti Covid-19.

Menurut Risma, suaminya itu kemudiannya keluar berkeliaran di kawasan kampung, meludah tapak tangannya dan cuba memegang penduduk setempat sambil menjerit dirinya negatif Covid-19.

Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan penduduk sebelum sekumpulan pemuda mengambil kayu dan cuba memukul Salamat namun lelaki itu berjaya lari ke dalam sebuah hutan.

Salamat berjaya ditemui pada 23 Julai lalu kira-kira pukul 10 malam waktu tempatan dan dibawa ke Hospital Porsea, Sumatera Utara.

Saudara kepada Salamat, Erik Sianipar berkata tindakan mereka memukul bukan untuk menganiayanya namun mereka hanya mahu menenangkan lelaki itu memandangkan dia positif Covid-19.

Sumber : Kosmo
video: Kompas

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *