Seorang Lelaki Maut Akibat Penyakit Rabies. Pernah Digigit Anjing.

| December 3, 2020 | 0 Comments

Seorang Lelaki Maut Akibat Penyakit Rabies. Pernah Digigit Anjing. | PUTRAJAYA: Seorang lelaki meninggal dunia akibat penyakit rabies pada 25 November lalu, dengan sejarah pernah digigit anjing liar ketika berburu di hutan, dua tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa berusia 58 tahun dimasukkan ke Hospital Lundu, Sarawak, 19 November lalu, berikutan mengadu sakit dan lemah badan selama tiga hari.

Katanya, lelaki itu turut mengadu sakit tekak serta mengalami kesukaran untuk makan dan minum.

Beliau berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 21 November lalu susulan tahap kesihatannya didapati semakin merosot.

“Beliau meninggal dunia pada 25 November lalu dengan diagnosis rabies meningoencephalitis.

“Diagnosis disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tarikh sama.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mangsa ada sejarah pernah digigit anjing liar ketika berburu di hutan, dua tahun lalu, namun dilapor tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Beliau juga ada membela lima anjing tetapi haiwan terbabit disahkan negatif rabies oleh pihak Jabatan Veterinar Sarawak,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa mangsa adalah antara dua kes baharu rabies dalam kalangan manusia yang dikesan di Sarawak, menjadikan jumlahnya meningkat kepada lapan orang pada tahun ini.

“Satu lagi kes itu membabitkan kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dengan sejarah digigit anjing di bahagian muka pada 2 November lalu.

“Beliau terus dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin antirabies.

“Kes discaj dalam keadaan sihat pada 6 November lalu. Namun pada 13 hingga 15 November lalu, kanak-kanak itu mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke HUS pada 16 November lalu untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal dijalankan IMR pada 25 November lalu.

“Kanak-kanak ini sedang dirawat di HUS dan dalam keadaan stabil. KKM mendoakan kanak-kanak itu segera pulih. Anjing menggigit kanak-kanak itu dilaporkan adalah haiwan peliharaan milik jirannya.

“Kanak-kanak itu digigit ketika cuba menyelamatkan kucing milik neneknya yang diserang anjing terbabit.

“Anjing itu sudah ditangkap oleh pihak Majlis Daerah Bau pada 3 November dan disahkan positif virus rabies pada 18 November lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan dua kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017, mencecah 30 kes dengan 28 kematian, setakat ini.

“Hanya dua kes yang masih hidup di mana kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Sumber : BH

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *