Seorang Pegawai Bomba Cedera Ditimpa Konkrit Ketika Bertugas. | SHAH ALAM: Seorang pegawai bomba cedera terkena serpihan konkrit yang terjatuh ketika memadamkan kebakaran sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22 di sini, petang tadi.

Kejadian pukul 4.45 petang itu mengakibatkan mangsa, Yunuslie Julius, 28, cedera pada tengkuk dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, ketika kejadian sepasukan 26 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam sedang menjalankan pemadaman api di kilang tiga tingkat tersebut.

“Sewaktu operasi itu, pegawai kita (Yunuslie) yang berada di tingkat bawah terkena simen konkrit sebesar dua batu bata.

“Simen itu terjatuh ke atas topi keledar dipakai mangsa hingga menyebabkan dia berasa sakit di bahagian tengkuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kemudian meminta bantuan pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

“Pegawai bomba itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut termasuk imbasan X-Ray sedang dilakukan dan mangsa dalam keadaan sedar,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan kilang pemetik api itu daripada musnah terbakar sepenuhnya hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi tu mengakibatkan 70 peratus kebakaran sekali gus tidak merebak ke premis berdekatan lain.

Norazam memaklumkan pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pukul 3.15 petang.

Tiada mangsa atau kemalangan jiwa serius dilaporkan dalam kebakaran itu setakat ini.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply