Semporna: Pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China, di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Asisten Superintendan Arif Abdul Razak berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah penginapan atas air, dekat sini, selepas mangsa membuat laporan jam 10.03 pagi, Sabtu lalu.
Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa yang berumur 25 tahun itu, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari Jumaat lalu.
“Mangsa mendakwa dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selam skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebaik laporan dibuat, mangsa kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal.
Katanya, suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba itu ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.
Terdahulu, kejadian itu tular di Facebook dengan perkongsian beberapa gambar termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam skuba, selain tangkap layar perbualan suspek dengan mangsa serta laporan polis.
Sumber : HM
Minta Cium Pipi, Remaja Perempuan OKU Kena Cabul Dengan Pengawal Keselamatan
Remaja perempuan berstatus orang kurang upaya (OKU) melalui pengalaman hitam apabila dia menjadi mangsa nafsu serakah pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri di Nilai, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 14 tahun mendakwa dicabul oleh pengawal keselamatan yang bertugas di pangsapuri tempat mangsa tinggal.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa dikatakan dicabul ketika suspek menghantarnya ke rumah dari lif di pangsapuri berkenaan.
“Pada jam 6.23 petang semalam, kaunter pertanyaan Balai Polis Nilai terima aduan daripada kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun yang mendakwa dicabul pengawal keselamatan di pangsapuri yang terletak di Nilai.
“Pengawal keselamatan itu menyuruh rakan mangsa pulang sebelum lelaki itu dikatakan menghantar mangsa ke rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam perjalanan ke rumah, suspek memegang badan mangsa serta meminta mangsa mencium pipinya.
“Mangsa yang ketakutan kemudiannya lari ke rumah. Mangsa bersama keluarga datang ke Balai Polis Nilai untuk membuat laporan polis,” katanya.
Abdul Malik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Ahmad Kamil Rusli bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa berusia 44 tahun yang enggan dikenali berkata, anaknya itu memang tinggal di pangsapuri berkenaan bersama anak sulungnya yang menyewa di situ.
“Saya hanya tahu kejadian ini selepas dimaklumkan anak sulung kerana mereka tinggal bersama di pangsapuri berkenaan. Kejadian ini membuatkan anak berdepan trauma.
“Kedua-dua anak saya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. Saya berharap suspek dapat ditahan dan diberi hukuman setimpal kerana mengambil kesempatan ke atas insan yang kekurangan,” katanya.
Sumber : KMN