Seorang Rakyat Malaysia Parah Ditemb@k Di Thailand. | GERIK: Seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, lelaki berusia 55 tahun dari Kampung Padang Tamat, Pengkalan Hulu itu dipercayai ditembak suspek tidak dikenali.
Katanya, akibat tembakan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan paha.
“Kejadian sekitar pukul 9 malam waktu Thailand itu berlaku ketika mangsa yang sedang menunggang motosikal ditembak sebanyak tiga kali di hadapan sebuah kedai serbaneka.
“Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek dipercayai warga Thailand itu berjaya melarikan diri dan setakat ini, penyerang terbabit masih belum ditangkap.
Katanya, siasatan dijalankan pihak polis Thailand bagi mengesan suspek tersebut dan motif serangan itu dilakukan sama ada berpunca daripada hal peribadi atau perniagaan.
“Mangsa yang berasal dari Pengkalan Hulu itu dikatakan telah lama keluar masuk ke Daerah Betong kerana dipercayai mempunyai isteri warga Thailand.
“Mangsa yang pernah menjalankan perniagaan pusat hiburan di Bandar Betong juga mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dadah di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, siasatan kes berkenaan dijalankan sepenuhnya oleh pihak polis Thailand.
“Bagaimanapun, kita akan membantu pihak berkuasa Thailand dari sudut siasatan kes tersebut,” katanya.
Sumber : UM
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Peguam M@ti Tertembak Ketika Jalani MRI | Seorang peguam maut selepas secara tidak sengaja terkena tembakan dari pistol miliknya, selepas dia gagal mengeluarkan senjata api itu sebelum masuk ke bilik pengimejan resonans magnetik (MRI) di sebuah hospital di Brazil.
Portal Independent melaporkan ketika kejadian, Leandro Mathias de Novaes membawa ibunya untuk imbasan di Laboratorio Cura, lapor Jam Press.
Lelaki berusia 40 tahun itu dikatakan gagal memberitahu pekerja hospital bahawa dia mempunyai pistol, walaupun diarahkan untuk mengeluarkan semua objek logam sebelum memasuki bilik imbasan.
Medan magnet daripada pengimbas MRI menarik senjata milik peguam itu dari pinggangnya dan secara tidak sengaja tembakan dilepaskan dan terkena perut mangsa.
Selain bekerja sebagai peguam, mangsa adalah pencipta kandungan prosenjata api yang mempunyai 12,000 pengikut di TikTok dan Instagram.
Jurucakap Perintah Peguam Brazil di Cotia, Sao Paulo berkata: “Dengan rasa sedih mendalam OAB Cotia menyampaikan kepada semua rakan peguam mengenai kehilangan rakan tersayang, peguam Leandro Mathias de Novaes yang tidak dijangka.
Beliau juga berkata bahawa mereka bersimpati atas kehilangannya dan semoga keluarganya tabah dalam detik kesakitan ini.
Jurucakap Laboratorio Cura berkata, pihaknya ingin menekankan bahawa semua protokol pencegahan kemalangan dipatuhi oleh pasukan Cura, seperti kebiasaan di semua unit.
Beliau berkata kedua-dua iaitu pesakit dan penemannya sudah diarahkan dengan betul mengenai prosedur untuk mengakses bilik pemeriksaan dan amaran diberikan mengenai penyingkiran mana-mana atau semua objek logam.
Makmal itu juga menyatakan bahawa kedua-dua Leandro dan ibunya menandatangani borang mengenai protokol itu, tetapi mangsa didakwa gagal memaklumkan kewujudan senjata api miliknya sebelum memasuki bilik pemeriksaan dengan keputusannya sendiri.
Polis mengesahkan senjata itu didaftarkan dan peguam itu mempunyai lesen senjata api yang sah.
Leandro meninggal dunia pada 6 Februari lalu selepas bertarung nyawa di Hospital Sao Luiz Morumbi.