Polis menahan lelaki warga emas kerana melepaskan tembakan yang mencederakan seorang wanita di Serian, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu di Batu 37, Jalan Kuching-Serian itu pada jam 8.10 pagi.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, wanita berusia 39 tahun yang bekerja di sebuah syarikat konkrit mengalami kecederaan di tangan dan bahu kanan.
“Suspek ditahan orang awam sejurus kejadian itu dan kemudian diserahkan kepada polis dan kini masih ditahan di lokap Balai Polis Serian sementara mendapatkan perintah tahanan reman.
“Mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aswandy berkata, polis turut merampas selaras senapang patah yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Difahamkan suspek adalah bekas rakan sekerja mangsa di syarikat itu dan polis masih meneliti motif dia melepaskan tembakan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Lans Koperal Tembak M@ti Isteri Direman 7 Hari
Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang disyaki menembak mati isterinya lebih lima das di sebuah rumah di Simpang Empat, semalam direman tujuh hari sehingga 12 Mac bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Perintah reman dikeluarkan jam 9 pagi oleh Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor di wad di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar di mana suspek kini dirawat dan bakal menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital itu.
Suspek berusia 27 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh isterinya, Safsufarnisya Salleh, 26, yang juga seorang suri rumah
Supek dipercayai menembak mangsa lebih daripada lima das tembakan menggunakan pistol dari jenis Walther P99 dari jarak dekat mengenai bahagian muka di mata sebelah kiri mangsa di dalam sebuah bilik di kediaman pasangan terbabit di kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi, mengesahkan reman suspek dan ketika ini pihaknya juga sedang menyiasat motif suspek bertindak sedemikian sehingga membunuh isterinya.
Beliau berkata, malah, mereka juga sedang menyiasat daripada pelbagai aspek sama ada suspek terbabit dengan penyalahgunaan dadah, faktor kemurungan atau permasalahan membabitkan mental.
Katanya, ini disebabkan tiada sebarang pergaduhan mahupun pertikaman lidah berlaku antara pasangan terbabit sebelum kejadian itu.
Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, suspek dipercayai baharu pulang dari tugasannya menembak mati isterinya.
Malah difahamkan daripada keluarga mangsa, suspek tidak menunjukkan sebarang masalah atau perlakuan pelik sebelum kejadian.
Selain itu juga, suspek dikatakan sempat minum bersama isteri di dapur sebelum kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: KMN