Shanghai Kembali Menjadi ‘Pekan Covid-19’. Usaha kerajaan China untuk memulihkan Shanghai nampaknya gagal apabila lebih 25,000 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan serta pergelutan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Baca seterusnya.
SHANGHAI: Pusat kewangan China di Shanghai melaporkan lebih 25,000 jangkitan baharu COVID-19 ketika pihak berkuasa hari ini mula merangka pelan keluar daripada sekatan penutupan yang membabitkan 25 juta penduduknya itu.
Beberapa kawasan ketika ini bergelut mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan selepas lebih tiga minggu dipaksa berkurung ketika China berperang membendung wabak COVID-19 terbesar sejak pertama kali virus itu ditemui di tengah Wuhan pada akhir 2019.
Memandangkan usaha kini digerakkan untuk cuba menghidupkan kembali beberapa bahagian bandar, kerajaan membahagikan unit kediaman kepada tiga kategori.
Ia terdiri 7,624 kawasan yang masih ditutup, diikuti 2,460 lagi yang tertakluk kepada ‘kawalan’ selepas seminggu tiada jangkitan baharu, dan akhir sekali 7,565 ‘kawasan pencegahan’ yang dibuka selepas dua minggu tiada kes positif.
Pegawai kerajaan bandar, Gu Honghui berkata, Shanghai akan melakukan pelarasan dinamik kepada sistem klasifikasi kediaman sambil berikrar berusaha lebih gigih untuk meminimumkan kesan sekatan terhadap orang kebanyakan yang tinggal di bandar paling ramai penduduk di China itu.
“Kami juga berharap semua rakyat dan rakan akan terus menyokong dan bekerjasama dalam tugas pencegahan dan kawalan wabak di bandar ini.
“Mereka yang tinggal di ‘kawasan pencegahan’ boleh bergerak di sekitar kawasan kejiranan sendiri, tetapi mesti mematuhi penjarakan sosial dan ia boleh ditutup semula sekiranya terdapat jangkitan baharu,” katanya.
Bagaimanapun, dasar ‘pelepasan dinamik’ kekal sebagai pilihan terbaik Shanghai, kata Ketua Kumpulan Kerja Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan Mengenai COVID-19, Liang Wannian.
Adalah tidak tepat mencirikan Omicron sebagai ‘selsema besar’ dan menurunkan tahap kawalan China akan mendedahkan populasi warga emasnya yang besar kepada risiko, terutamanya apabila virus itu bermutasi, kata Liang semasa lawatan ke bandar timur itu.
Bandar ini berdepan tekanan bukan hanya untuk mengekang penularan tempatan, tetapi menghentikan penyebaran ke wilayah lain, tambahnya.
Shanghai merekodkan pertambahan 25,173 jangkitan asimtomatik baharu semalam, meningkat daripada 23,937 hari sebelumnya, walaupun kes bergejala menurun kepada 914 daripada 1,006.
Sumber:Berita Harian