Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib mengesahkan sedang berkawan dengan wanita dikenali Watie Hanifiah.

Shuib bersama anaknya. Gambar kanan wanita yang didakwa Watie.

Shuib berkata demikian selepas tular foto hantaran Instagram Shuib yang menampakkan pantulan imej seorang wanita yang dipercayai wanita itu pada cermin sebuah restoran mewah.

“Saya tidak nafikan, kami dalam fasa baru berkawan,” katanya ringkas sewaktu ditemu bual.

Tidak menolak jika bertermu jodoh dengan wanita itu, Shuib memohon agar peminat mendoakan urusan tersebut dipermudahkan jika diizinkan oleh Allah SWT.

Menerusi perkongsian itu, Shuib bergambar bersama dua anaknya iaitu Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin.

Hantaran Shuib menjadi perhatian ramai sekali gus mencetuskan spekulasi mendakwa mereka sedang bercinta.

Sebelum ini, bapa kepada empat orang anak itu pernah menafikan hubungan istimewa dengan wanita itu.

Terdahulu, sejak kematian Allahyarham Siti Sarah akibat Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu, Shuib kerap dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita tanah air.

Antara nama yang sering disebut ialah Siti Nordiana, Wan Sharmila dan Zara Zya. Selain Talita dan Matin, Shuib mempunyai dua orang lagi cahaya mata Uwais Alqarni, 11, dan Ayash Affan hasil perkahwinannya dengan Siti Sarah pada 26 Februari 2011.

Sementara ini, Shuib berkata dia kini lebih mengutamakan anak-anak dalam mencari teman hidup baharu.

“Sekarang ni saya lebih fikirkan kepentingan anak-anak. Sebagai bapa saya tahu apa yang kurang. Mereka perlukan kasih sayang dan sentuhan seorang wanita. Kalau orang ini yang boleh berikan perkara tersebut, tidak salah untuk saya cuba berkawan.

“Takut nak bercakap panjang soal jodoh, jadi saya serahkan kepada ketentuan Allah. Tetapi saya juga perlu berusaha ke arah itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shuib juga berhadap netizen tidak terlalu cepat membuat kesimpulan atau mudah menjatuhkan hukum apabila timbul cerita dia berkawan rapat dengan mana-mana wanita.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply