Langkah penyelesaian menghadapi kesan kenaikan harga barang dalam konteks universiti, bukan sahaja memerlukan inisiatif kerajaan dan keprihatinan pentadbir, bahkan disambut mahasiswa sendiri dengan mengadaptasi senario semasa dan mengubah gaya hidup mereka.

Siswa Perlu Ubah Gaya Hidup. 'Ini' Sebabnya Menurut Pakar..

Pelbagai inisiatif pantas sudah diperkenalkan kerajaan, termasuk pengenalan pakej menu ekonomi serendah RM3.50 di kafeteria kolej, terutama universiti awam (UA), selain ada universiti memberikan baucar makanan percuma bernilai RM5 setiap hari kepada pelajar daripada keluarga B40.

Inisiatif sebegini turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan alumni, manakala Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Hidup Siswa Keluarga Malaysia untuk memperkasakan tadbir urus sistematik penyaluran bantuan, sekali gus mengelakkan keciciran.

Jawatankuasa induk dipengerusikan Menteri Pengajian Tinggi memutuskan ketetapan di bawah Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa seperti pengecualian bayaran sewa enam bulan kepada pengusaha kafe dan penyedia makanan di kampus, penubuhan pasukan Pemantau KPT-Kos Sara Hidup Siswa (KPTPantau) serta Hab Food Bank Siswa, selain penyelarasan kadar ubah program Job on Campus (JoC).

Bagaimanapun di sebalik semua inisiatif itu, pelajar universiti sendiri perlu mengadaptasi dan mengubah gaya hidup mereka sedia ada sama ada mereka terkesan secara langsung mahupun tidak dalam krisis ekonomi ini.

Pelajar perlu peka keadaan semasa dan mengamalkan prinsip kesederhanaan. Dalam keadaan ekonomi dijangka tidak menentu khususnya hingga hujung tahun ini, mereka seharusnya bijak menilai dan membuat perancangan kewangan, selain mengutamakan keperluan berbanding kemahuan.

Amalkan kesederhanaan

Contohnya, ketika makanan dijual di kafe dan penyedia makanan di kampus sudah bersifat ‘mesra siswa’ dari segi harga dan kualitinya, masih ada pelajar membuat pilihan lebih mahal dan tidak sihat apabila membeli di luar seperti restoran mamak dan premis makanan segera.

Malah, sebahagiannya memperlihatkan gaya hidup berlebihan dan tidak mengukur baju di badan sendiri seperti telefon pintar mewah dan aset tidak perlu seperti kenderaan baharu.

Tidak dinafikan telefon pintar adalah antara keperluan penting dalam komunikasi dan alat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), tetapi tidaklah sampai perlu hingga berharga mencecah ribuan ringgit.

Ada juga sanggup membeli kenderaan seperti kereta dan motosikal dengan alasan memudahkan urusan pergerakan harian pergi balik kampus, terutama yang memilih menyewa di kawasan perumahan berdekatan kampus.

Mereka sebenarnya sudah ditawarkan kemudahan menginap di kolej kediaman, tetapi memilih menginap di luar kampus kononnya kerana memberi lebih kebebasan dan tidak tertakluk peraturan ditetapkan kepada penginap kolej. Ini menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk menampung kos pemilikan, bahan api, penyelenggaraan kenderaan serta kos sewa rumah dan perbelanjaan berkait.

Berdasarkan pengamatan, desakan rakan sebaya antara punca utama mendorong sebahagian pelajar hidup bergaya di luar kemampuan. Oleh itu, kesederhanaan juga perlu diamalkan semua pelajar, manakala individu tidak terjejas teruk atau berasal daripada keluarga berada, tidak sepatutnya mendesak atau memaksa rakan yang kurang keupayaan kewangan untuk mengikut atau meniru gaya hidup mereka.

Sebenarnya, stigma sosial memandang rendah rakan pelajar tidak mempunyai aset tertentu atau tidak mengamalkan gaya hidup mewah masih wujud di kampus. Tertekan dengan label ‘tidak mampu’ dan ‘tidak layak didampingi’ memaksa pelajar kurang kemampuan untuk berbelanja melebihi kemampuan agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rakan mereka.

Justeru, pelbagai inisiatif diperkenal dan dilaksanakan pelbagai pihak untuk meringankan beban pelajar tidak bermakna sekiranya ia tidak disambut atau diberi perhatian sewajarnya oleh pelajar.

Share.

Leave A Reply