SPRM Tarik Balik Video ‘Doktor Rasuah MC’ | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menarik balik klip video yang mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini SPRM berkata pada asasnya video yang diterbitkan itu mahu mendidik orang ramai serta serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.
Dalam konteks video berkenaan, kata SPRM, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) dan contoh yang dipaparkan adalah berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM.
“Suruhanjaya ini tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan,” katanya.
Semalam MMA menyelar SPRM kerana mengeluarkan iklan berkaitan doktor yang menjual sijil cuti sakit ketika suruhanjaya antirasuah itu sendiri berdepan persoalan integriti.
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata video di media sosial SPRM itu satu penghinaan kepada kesucian dan imej kerjaya perubatan.
“Agensi kerajaan itu patut menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesej mereka.
“Sebagai doktor, kami sangat tersinggung dengan hantaran itu, yang patut diturunkan serta-merta,” kata Koh.
Video itu memaparkan seorang doktor menulis MC kepada pesakit setelah diberikan ‘sampul’.
Kata SPRM mereka amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.
“Sehubungan itu, bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan, SPRM mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak,” katanya.
Sumber : Malaysia Kini