‘Stres’ Dengan Kerja, Lelaki Buat Keputusan Untuk Tinggal Dalam Hutan | IPOH – Seorang lelaki yang mengalami tekanan di tempat kerja mengambil keputusan untuk hidup di dalam hutan berhampiran Terminal Meru Raya di Meru di sini sebelum dia diselamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, lelaki berkenaan yang menaiki bas dari Kuala Lumpur tiba di Terminal Aman Jaya sebelum memasuki hutan berhampiran dengannya.
Beliau berkata, mangsa memasuki hutan melalui Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran Jabatan Audit Negara dan Terminal Meru Raya pada 3 Jun lalu pada pukul 7 pagi.
“Pihak bomba menerima panggilan berkenaan perkara tersebut pada pukul 11.44 malam semalam.
“Sampai di lokasi, komander operasi telah menghubungi mangsa dan dia memaklumkan ada mendengar kehadiran jentera bomba dan dalam hutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota bertugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya telah melakukan pencarian awal di hutan tersebut.
Menurutnya, mangsa telah dijumpai oleh pasukan bomba pada pukul 2.46 pagi hari ini pada jarak 3.2 kilometer dari lokasi dia memasuki hutan berkenaan.
“Mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Stres Bini Asyik Minta Duit, Lelaki Buat Laporan Palsu Disamun
PONTIAN – Gara-gara menghadapi masalah kewangan, seorang lelaki ditahan kerana membuat laporan palsu mendakwa disamun oleh dua lelaki di Jalan Parit Kassim, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pengadu yang berusia 30 tahun itu kemudian telah membuat laporan polis yang mendakwa telah diacukan senjata berupa pisau ke arah dirinya.
Katanya, selain itu pengadu mendakwa kedua-dua lelaki tersebut telah mengambil wang tunai sebanyak RM300 dan sebuah jam tangan jenama ‘G- Shock ‘.
“Hasil siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pontian, lelaki tersebut ditahan kerana didapati telah membuat satu laporan palsu.
“Pengadu telah mengalami masalah kewangan dan gagal mengikuti kehendak isterinya yang meminta duit serta gagal menunjukkan lokasi sebenar kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam tular di media sosial laporan polis yang dibuat oleh pengadu seorang penghantar makanan mendakwa telah ditahan oleh dua lelaki berbangsa India dengan menaiki motosikal Yamaha Lagenda berwarna kuning tanpa nombor pendaftaran.
Laporan polis tersebut mendakwa kejadian berlaku pada pukul 9.30 pagi ketika pengadu melalui Jalan Parit Kassim menuju ke destinasi yang tidak dinyatakan dari rumah kediamannya di Taman Sri Pinang, Jalan Parit Mesjid.
Pengadu menyebut salah seorang lelaki telah menarik jaket pengandu sehingga terkoyak dan memaksa pengadu mengeluarkan dompet dan seorang lagi telah mengeluarkan senjata berupa pisau.
Tambah Mohammad Shofee, pengadu akan disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman 6 bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber: KMN