Polis menahan seorang lelaki mabuk yang memukul isteri dan anak kurang upaya (OKU) lembam di Kampung Tasik Permai, Ampang Jaya, Khamis lalu.
Wanita berusia 51 tahun itu dikatakan dipukul ketika tidur, manakala anak perempuannya ditendang selepas suspek pulang dalam keadaan mabuk kira-kira 11.15 malam Rabu lalu.
Suspek juga dipercayai mengugut akan membunuh mangsa dengan pisau, sebelum dia meminta bantuan anak sulungnya dan membuat laporan polis.
Ketua Polis Ampang, Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan anggota kereta peronda IPD Ampang Jaya susulan laporan itu.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki 13 rekod jenayah lampau.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas sebarang penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya
Sumber : UtusanTV
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Penyanyi Pukul Anak Angkat Sampai Muntah & Sukar Bernafas
Muntah, badan menggeletar dan susah bernafas ketika bertemu guru kaunseling membongkar kejadian seorang remaja perempuan mendakwa dipukul ibu angkatnya yang juga penyanyi sambilan.
Remaja berusia 16 tahun itu datang ke bilik gurunya pada jam 8 pagi kelmarin dalam keadaan sukar bernafas dan badan menggeletar sebelum muntah.
Gurunya kemudian bertanya sebelum dia mendakwa dipukul ibu dan diugut bunuh ketika berada di rumah di Ukay Perdana, di sini, menyebabkan gurunya tampil membuat laporan polis.
Mangsa turut dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan selepas dilihat dalam keadaan lemah.
Difahamkan kejadian berpunca apabila mangsa ingin pergi solat tarawih namun tidak dipercayai ibu angkatnya yang mengesyaki dia mahu bertemu rakan lelaki menyebabkan berlakunya insiden dipukul.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, susulan laporan diterima, polis kemudian menahan wanita berusia 46 tahun itu di pangsapuri di Ukay Perdana semalam.
Menurutnya, semakan terhadap suspek mendapati dia memiliki satu rekod lampau jenayah tidak dikehendaki polis.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Sumber : KMN