Suri Rumah Didenda RM 9,000 Kerana Hina Agong, Menangis Mengaku Bersalah Di Mahkamah | Seorang wanita menangis teresak-esak dan mengaku melakukan tindakan bodoh kerana menghina Yang di-Pertuan Agong Mei lalu didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Suri Rumah Didenda RM 9,000 Kerana Hina Agong, Menangis Mengaku Bersalah Di Mahkamah

Rosmawati Mohd Zain, 46, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, surirumah itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd Zain.

Hantaran dibuat 25 Mei lalu pada jam 7.06 malam dan dibaca pada jam 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anggota polis mendapati terdapat komen daripada profil Rosmawati dengan tangkap layar jelik.

Hasil siasatan mendapati, akaun itu didaftarkan atas nama Rosmawati dan bertanggungjawab secara sedar melakukan kesilapan tersebut.

Sumber : Sinar Harian

Share.

Leave A Reply