Terpaksa Sorong Ibu Yang Uzur Ke Bank Untuk Keluarkan Duit Pencen.

| June 15, 2020 | 0 Comments

Terpaksa Sorong Ibu Yang Uzur Ke Bank Untuk Keluarkan Duit Pencen. | New Delhi: Demi mengeluarkan wang pencen, seorang wanita tiada pilihan kecuali menyorong ibunya yang uzur dan berbaring di atas katil untuk dibawa ke bank.

Gulf News melaporkan Gunja Dei, 70, hadir bersama ibunya, Labhe Baghel yang berusia 120 tahun selepas pihak bank meminta pemegang akaun hadir sebagai bukti fizikal.

Sebaik tiba di bank dan melihat kehadiran mereka berdua, baru pegawai bertugas menyerahkan wang berkenaan.

Insiden itu dilaporkan berlaku di kampung Baragan dekat daerah Nuapada, Rabu lalu.

Pegawai Daerah Nuapada, Raju Dholkia berkata, dia kesal dengan apa yang berlaku.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti ini. Diharap, kerajaan menjalankan siasatan segera berhubung perkara itu,” katanya.

Selepas rakaman video insiden berkenaan tular di laman sosial, Ahli Dewan Perundangan (MLA) dari Khariar, Adhiraj Panigrahi menyelar tindakan pihak bank dan menuntut tindakan undang-undang diambil.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Wilayah Bank Gramya bersama Panigrahi dilapor bertemu bagi membincangkan isu berkenaan.

Panigrahi berkata, pegawai bank itu mengganggu wanita warga emas berkenaan sejak tiga bulan lalu.

“Dia (pegawai) melanggar undang-undang dan tindakannya bertentangan dengan hak asasi manusia kerana setiap orang harus mendapat hak mereka.

“Saya mengutuk perbuatan ini dan orang yang bertanggungjawab di sebalik ini harus disingkirkan daripada jawatan mereka. Perbuatan ini dapat dilihat di pelbagai daerah di Odisha,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Odisha menghantar surat kepada pengurus wilayah agensi kerajaan, swasta dan bank wilayah pedalaman (RRB) untuk menawarkan khidmat rumah ke rumah bagi warga emas.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , , ,

Category: DUNIA, INFORMASI, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *