Tuan Pasang Kunci, Meow Dipaksa Diet | London: Pemilik seekor kucing terpaksa menggunakan kaedah ‘agak keras’ untuk memastikan haiwan peliharaannya dapat menurunkan berat badan.

Tuan Pasang Kunci, Meow Dipaksa Diet

Sara Matthews, 47, dari Bristol membela kucing diberi nama Keith sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahiran ke-10 anak perempuannya.

Dia bagaimanapun tidak menyedari kucing itu mempunyai masalah ‘mengawal’ nafsu makan sehingga haiwan peliharaannya itu dikategorikan sebagai obes.

Today Online yang memetik Mirror UK melaporkan Matthews berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja 4,635 dolar Singapura (kira-kira RM14,373) untuk memasang kunci antikanak-kanak pada peti sejuk dan almari makanan, tahun lalu.

Tindakan itu terpaksa dibuat kerana mahu mengelak Keith mencuri makanan yang disimpan di dalam peti sejuk dan almari.

“Pada mulanya Keith boleh memanjat peti sejuk apabila anda membukanya, dan kami bimbang kucing itu akan terperangkap, jika ia masuk (ke dalam peti sejuk) tanpa kami sedar.

“Kini saya perlu memasang lebih banyak kunci pada setiap almari yang menyimpan makanan kerana jika tidak, Keith boleh membukanya dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Menurut Matthews, Keith sudah lama obes dan dia membuat keputusan untuk tidak membiarkan kucing itu keluar dari rumah kerana bimbang haiwan peliharaannya itu akan makan tanpa kawalan.

Matthews juga mengeluarkan kira-kira 3,711 dolar Singapura (kira-kira RM11,508) sepanjang setahun untuk kos perubatan dan rawatan telinga serta mata Keith.

“Keith juga ada kalanya perlu makan makanan khas kerana berdepan masalah pencernaan hasil ‘menikmati’ makanan biasa berkalori tinggi,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply