Tujuh Lelaki Ditahan Bukan Main Futsal, Tapi Lepak Minum Ketum | Seringkali kita dengar pelbagai aktiviti tidak berfaedah yang dilakukan ketika negara kita masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terdapat segelintir daripada mereka yang masih berdegil untuk keluar rumah dengan menggunakan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Tujuh Lelaki Ditahan Bukan Main Futsal, Tapi Lepak Minum Ketum

Seberang Perai: Seramai tujuh lelaki ditahan polis selepas didapati melepak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh berdekatan sebuah gelanggang futsal di Guar Tuan Syed, Penaga di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka yang ditahan dalam operasi kira-kira pada pukul 6 petang itu membabitkan individu berusia antara 24 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, mereka didapati sedang melepak dipercayai meminum air ketum dan bukan ditahan gara-gara bermain futsal seperti yang didakwa di media sosial.

Beliau mengulas lanjut, sekumpulan lelaki didapati sedang berkumpul di bawah pokok dan siasatan mendapati mereka menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk minum ketum dan tidak memakai penutup muka.

“Pemeriksaan pada motosikal milik salah seorang daripada mereka mendapati dua bungkus plastik mengandungi air ketum,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, kesemua individu terbabit ditahan bagi siasatan lanjut selain masing-masing dikompaun sebanyak RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Terdahulu, tular di media sosial semalam satu video berdurasi 23 saat yang memaparkan sebuah trak polis membawa individu yang ditahan, manakala beberapa buah motosikal lain dilihat turut mengekori kenderaan tersebut.

Menurut Noorzainy, motosikal milik individu yang ditahan itu ditunggang oleh anggota polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply