TULAR! Padah Masuk Kawasan Larangan, Seorang Lelaki Ditarik Oleh Orang Utan. Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan seorang lelaki yang ditarik oleh seekor orang utan ketika cuba berinteraksi dengannya.

JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan seorang lelaki yang ditarik oleh seekor orang utan ketika cuba berinteraksi dengannya, lapor laman berita Suara.com.

Video tersebut dimuat naik dalam akaun TikTok @meme.klean. Kejadian dikatakan berlaku di sebuah zoo di Riau.

Rakaman memaparkan seorang lelaki kelihatan memasang kamera di hadapan kurungan seekor orang utan.

Bagaimanapun, ketika cuba berinteraksi dengan menghulurkan tangannya, haiwan itu pantas menarik baju dan kaki lelaki tersebut.

Lelaki itu cuba membebaskan dirinya sambil meminta tolong tetapi haiwan itu dilihat lebih kuat sehingga dia tidak berjaya melepaskan diri.

“Ya Allah, saya berserah diri pada ketika itu,” demikian kapsyen pada video berkenaan.

Dia akhirnya berjaya melepaskan diri setelah dibantu oleh pengunjung lain.

Video berkenaan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Lelaki itu bertarung untuk menyelamatkan nyawanya,” kata netizen.

Sumber: KOSMO

Share.

Leave A Reply