Tular Video Polis Lepaskan Tembakan. Ini Cerita Sebenar.| Kuala Lumpur: Polis melepaskan sembilan das tembakan ke arah sebuah Proton Wira dinaiki dua suspek yang enggan berhenti diperiksa di Laman Rimbunan, Jalan Kepong, di sini, pagi tadi.
POLIS MELEPASKAN TEMBAKAN
Kejadian itu tular selepas satu video berdurasi 13 saat memaparkan tiga anggota polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di sebatan jalan yang sesak dimuat naik di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 7.45 pagi sebelum kenderaan dipandu kedua-dua suspek terbabit terbabas lebih kurang 10 minit kemudian.
“Anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sedang membuat rondaan dan terserempak kereta dipandu dua lelaki tempatan terbabit dalam keadaan mencurigakan.
DIARAH BERHENTI
“Kereta terbabit diarah berhenti tetapi mereka enggan dan terus melarikan diri lalu dikejar (polis) sehingga ke jalan yang berlaku kesesakan (video tular),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurutnya, anggota polis mengejar suspek bermula dari Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong di sini, yang sesak menyebabkan suspek mengundurkan kereta dan melanggar anggota URB berkenaan.
“Dua anggota URB turun dari motosikal dan dalam konteks untuk memberhentikan kereta yang memberi ancaman kepada orang lain mereka melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.
“Kesemua tembakan dihalakan pada tayar kereta yang menyebabkan kebocoran tayar dan kenderaan suspek terbabas ke tepi jalan,” katanya.
2 SUSPEK MELARIKAN DIRI
Mohd Shuhaily berkata, kedua-dua suspek keluar dari kereta dan melarikan diri ke arah sebuah kawasan perumahan.
Katanya, semakan mendapati kereta terbabit dimiliki seorang wanita tempatan yang meminjamkan kepada seorang lelaki lain bagaimanapun buat masa ini tidak dapat dipastikan pembabitan individu berkenaan.
“Pemeriksaan dalam kenderaan menemui besi buruk yang mungkin dicuri…kita tak dapat kenal pasti apa tujuan barang-barang ini buat masa ini,” katanya.
Susulan itu, pihak polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang dipercayai boleh membantu mengesan suspek terbabit iaitu Ganesan Olakanathan, 40.
“Kita kesan Ganesan kerana kita percaya dia orang yang boleh bantu siasatan…buat masa ini dia bukan suspek… laporan forensik pun masih belum dapat.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam,” katanya.
SUmber : HM
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
[VIDEO] Penyamun Rempuh Kereta Polis Dan Awam, Polis Lepaskan Tembakan
Seperti adegan dalam filem, seorang penjenayah memandu dalam keadaan ‘gila’ dan berbahaya dengan merempuh beberapa kenderaan awam serta polis sebelum berjaya ditahan di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, dekat sini, semalam.
Tindakan agresif suspek yang cuba melarikan diri ketika dikejar memaksa anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, lelaki berusia 31 tahun yang juga suspek kes samun dikejar kereta digunakan pasukan polis dari Banting ke Klang melalui Teluk Panglima Garang sehingga ke lokasi suspek ditangkap.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku kejadian tembak di kawasan Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang membabitkan dua kereta.
“Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati sepasukan polis dari Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengejar suspek yang terbabit kejadian samun di Subang Jaya.
“Suspek yang memandu kereta Proton Inspira memandu secara berbahaya sehingga melanggar beberapa kenderaan orang awam ketika berada di kawasan Masjid Kampung Pendamar, Klang.
“Lelaki itu turut melanggar kereta digunakan oleh pasukan polis secara agresif sehingga hampir melanggar kenderaan lain sekali gus memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Cha berkata, kereta suspek terbabas di Kampung Pendamar sebelum melanggar sebuah kereta orang awam.
Katanya, suspek terus melarikan diri dari lokasi itu, sebelum dikejar hingga ke kawasan perkampungan.
“Namun, suspek kembali ke lokasi keretanya terbabas dan memandu kenderaan digunakan pasukan polis dalam usaha meloloskan diri.
“Pasukan polis sekali lagi bertindak nekad melepaskan beberapa das tembakan bagi mengelakkan suspek melarikan diri dan mengancam nyawa orang awam dalam usaha melarikan diri.
“Akhirnya, suspek berjaya ditahan di kawasan Jalan Kem, Pelabuhan Klang. Suspek adalah seorang lelaki tempatan dan mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan bunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun,” katanya.
Beliau berkata, suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Subang Jaya bagi siasatan lanjut berhubung kejadian samun yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kertas siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh masa terdekat.
“Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kejadian ini, boleh disalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Sumber : HM