Seorang peniaga mendapat pujian netizen apabila dia sanggup menawarkan makanan percuma di kedainya kepada pelajar yang tidak mempunyai wang.
Tular beberapa gambar di media sosial, peniaga merangkap pemilik kedai melekatkan nota makluman di premisnya.
Kedainya itu terletak di ‘N24 Streetcafe’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Beliau yang dikenali Siti Aishah, turut berkongsi maklumat itu di Facebook miliknya, sebelum gambar itu tular dengan netizen memuji sikapnya.
Katanya, dia melakukan sedemikian kerana dia pernah menjadi pelajar serta mengetahui rasa susah yang dialami pelajar.
Justeru, beliau mengalu-alukan khususnya mereka yang tidak mempunyai wang untuk datang ke kedainya.
Mereka juga tidak perlu malu-malu untuk menerima niat baiknya.
“Adik-adik pelajar, kalau tak ada langsung duit, jangan tahan lapar.
“Datang sini bagitahu, saya belanja. Saya pun pernah jadi pelajar, jangan malu,” tulisnya.
Rata-rata netizen tersentuh dengan niat baik wanita tersebut.
Netizen turut mendoakan agar beliau dimurahkan rezeki serta maju dalam perniagaan.
“Terasa nak nangis baca..sebab sendiri pernah tahan lapar. Semoga Allah kurniakan ganjaran pahala dan rezeki adik ini melimpah ruah asbab menderma,” kata Nadia Wahieda Salim.
“Semoga akak dilimpahkan rezeki, dan dipermudahkan segala urusan,” kata Ecah Ossley.
“Aku pernah tahan lapar makan maggi saja. Kenapa zaman belajar dulu tak jumpa macam ini,” kata Siti Nor Fatihah Hani.
Sumber: Malaysiapost