(Video) Lelaki Baling Kek Pada Potret Mona Lisa Dipercayai Kurang Siuman. Tular di Twitter, seorang lelaki menyamar lumpuh dan membaling kek pada potret Mona Lisa yang dipamerkan di muzium Louvre, Paris. Baca seterusnya.

PARIS: Seorang lelaki berumur 36 tahun yang berpura-pura lumpuh dengan menggunakan kerusi roda ditahan selepas membaling kek ke atas lukisan ‘Mona Lisa’ yang dipamerkan di muzium Louvre, Paris.

Seorang pelawat muzium sempat merakamkan video kejadian pada Isnin yang menunjukkan lelaki yang memakai rambut palsu itu, menghampiri lukisan sebelum membaling kek itu dan melaungkan kata-katanya.

“Bumi sedang musnah. Semua artis, fikirkan tentang Bumi. Sebab itu saya buat ini. Fikirkan tentang planet kita,” kata lelaki itu seperti yang dirakamkan dalam video tular di media sosial.

Memetik CNN, Louvre dalam kenyataan pada Selasa bahawa pelawat yang berkerusi roda dibenarkan bergerak di hadapan pengunjung muzium lain untuk melihat karya itu dengan lebih baik.

“Louvre menggunakan prosedur biasa untuk orang yang kurang upaya, membolehkan mereka mengagumi karya seni utama ini.

“Semasa berdiri berhampiran lukisan itu, individu ini membaling pastri yang disorokkan ke kotak kaca ‘Mona Lisa’. Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada lukisan itu, yang tidak rosak dengan apa-apa cara,” kata Louvre.

Menurut pejabat pendakwa raya Paris, lelaki tersebut telah ditangkap dan dibawa ke hospital psikiatri di ibu pejabat polis.

Louvre juga memfailkan aduan dan siasatan dibuka oleh pendakwa atas cubaan merosakkan harta budaya.

‘Mona Lisa’ merupakan karya agung Leonardo da Vinci, yang boleh dikatakan lukisan paling terkenal di dunia dan menarik berjuta-juta pelawat setiap tahun yang berbaris untuk bergambar dengan karya itu.

Sumber: SumberKini

Share.

Leave A Reply