(VIDEO) Polis Rampas 1,900 Sijil Vaksin Palsu, Setiap Sijil Dijual RM 400-500 | Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas kira-kira 1,900 sijil.
Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri yang membawa kepada penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di klinik swasta di Marang, pada 7 malam kelmarin.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat diterima mengenai penipuan mengeluarkan sijil vaksin kepada golongan tidak mahu disuntik atau golongan anti vaksin.
Beliau berkata, suspek dipercayai berurusan dalam talian sejak September lalu dengan setiap suntikan dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.
“Setakat ini, terdapat kira-kira 1,900 individu yang terbabit mendapatkan sijil ini dan kita sedang menyiasat sama ada semuanya tulen atau sebaliknya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.
Polis merampas 1,900 sijil vaksin Covid19 bernilai hampir sejuta ringgit dipercayai palsu yang DIKELUARKAN oleh sebuah klinik swasta di Marang kepada anti vaksin. Seorang Doktor lelaki berusia 51 tahun dicekup bagi membantu siasatan. Setiap sijil dijual RM400-500. @BuletinTV3 pic.twitter.com/hf8FKVa8b3
— Mohd Ishak Abdillah Ngah (@ShaqNewsMPB) January 10, 2022
Sumber : HM