(VIDEO) Sebelum Naik Lori Polis, OKT Sempat Larikan Diri | Cubaan seorang orang kena tuduh (OKT) melarikan diri ketika menaiki lori polis di hadapan Klinik Kesihatan Beranang, di sini, gagal selepas dia berjaya ditahan semula pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang anggota polis yang melihat satu video berdurasi 38 saat yang tular di Tik Tok menerusi akaun id@goodymy_official mengenai kejadian itu, hari ini.
“Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berlaku jam 11 pagi semalam di hadapan Klinik Kesihatan Beranang.
“Ketika kejadian, anggota bertugas mengiringi seramai 19 OKT dari Balai Polis Kajang ke klinik berkenaan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dengan menaiki lori pasukan (polis),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaid berkata, sebaik selesai menjalani ujian saringan, semua OKT naik semula ke dalam lori berkenaan sebelum seorang daripada mereka cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, OKT terbabit berjaya ditahan semula pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan dimasukkan semula ke lokap Balai Kajang dengan selamat.
“Semakan dilakukan mendapati, OKT terbabit adalah individu yang ditahan bersabit dengan kes samun dan sedang dalam tempoh reman sehingga esok,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
“Kami menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 atau IPD Kajang di talian 03-89114222.
“Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran mengenai kejadian ini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber : HM