Wanita Berumur 54 Tahun Cuba Terjun Jambatan Di Kelantan. | KOTA BHARU – Seorang wanita yang memakai jubah dan berpurdah membatalkan niatnya untuk cuba terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini selepas dipujuk oleh orang awam.

Wanita berusia 54 tahun berasal dari Pengkalan Chepa di sini dipercayai cuba untuk memanjat tembok jambatan itu kira-kira pukul 1.40 tengah hari tadi sebelum diselamatkan oleh pengguna jalan raya.

Saksi kejadian, Suhaila Zakaria, 28, berkata, ketika itu, dia melalui jambatan itu dengan menunggang motosikal sebelum melihat beberapa orang lelaki menahan dan memegang wanita tersebut yang sedang menangis.

Menurutnya, dia terus memberhentikan motosikalnya sebelum bergegas memeluk wanita terbabit sambil menyuruhnya mengucap dan bersabar.

“Semasa memeluknya, saya sempat bertanya apa yang membuatkan dia mahu terjun dari jambatan itu, namun wanita itu hanya menangis dan mengatakan dirinya jahat.

“Semasa memujuknya, saya sempat menasihatkan wanita itu agar berfikiran waras meskipun mempunyai masalah besar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Suhaila, selepas 15 minit dipujuk, kenderaan polis yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan berhenti lalu mengambil wanita itu.

Katanya, pada masa sama, jentera bomba turut sampai di lokasi kejadian, namun wanita itu sudah dibawa anggota polis.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply