Wanita ‘Tidur’ Sambil Pandu Tesla | Seorang wanita dirakamkan tertidur ketika memandu di Lebuhraya 15 berhampiran Temecula, California.

Portal People.com melaporkan keadaan pemandu Tesla yang terlena di tempat duduk pemandu, ketika kenderaannya sedang bergerak itu, dirakamkan pemandu lain.

Vasiliki Dolas dan pasangannya sedang melalui lebuh raya sama, pada Khamis lalu, apabila mereka ternampak seorang pemandu yang kelihatan tertidur di dalam Teslanya.

Dolas, yang merakamkan situasi itu dengan kameranya berkata, dia mengikuti Tesla berkenaan selama 15 minit, sebelum menghubungi polis untuk melaporkan kejadian.

Dolas berkata bahawa seseorang perlu bangunkan Sleeping Beauty itu.

Dolas berkata, pemandu itu yang memakai cermin mata hitam, kelihatan tidak responsif walaupun dia berulang kali cuba menarik perhatian wanita terbabit.

Beliau juga berkata, mereka mula membunyikan hon untuk cuba menarik perhatiannya kerana mungkin wanita mengalami kecemasan kesihatan atau sesuatu.

Pegawai Peronda Lebuhraya California (CPH) Mike Lassig memberitahu KTVU bahawa pegawai tidak mengejar pemandu sesuka hati, jadi tidak jelas sama ada individu terbabit sedang tidur, mabuk atau mengalami kesan perubatan.

CPH tidak segera menjawab permintaan People.com untuk mendapatkan ulasan.

Dalam video Dolas dikongsi oleh Storyful, pemandu Tesla itu boleh dilihat lena di dalam kenderaannya yang meluncur laju di lebuh raya.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Pemandu ‘Microsleep’ Rempuh 4 Kenderaan

Pemandu ‘Microsleep’ Rempuh 4 Kenderaan | Akibat terlelap semasa memandu atau ‘microsleep’, seorang pemandu kereta terbabas melanggar empat kenderaan lain di bahu jalan di Jalan Sultan Yahya Petra, pada Rabu.

Kejadian berlaku pada jam 2.25 petang itu menyebabkan pembantu gudang lelaki berusia 21 tahun terbabit cedera pada bahagian hidung dan dirawat di zon kuning Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dalam salah sebuah kereta yang dirempuh jenis Proton Iswara turut cedera ringan dan lebam di bahagian kepala serta menerima rawatan di hospital sama.

Lima lagi mangsa-mangsa lain berusia antara 26 sehingga 47 tahun yang berada dalam kenderaan masing-masing tidak cedera.

Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, berkata, selain Proton Iswara, tiga lagi kenderaan yang terlibat ialah Perodua Alza, Honda City dan Mitsubishi masing-masing mengalami kerosakan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pembantu gudang itu memandu Proton Persona dari arah Persimpangan Taman Maju menghala ke Persimpangan Wakaf Siku dan mengalami microsleep lalu terbabas ke kiri jalan merempuh belakang Proton Iswara.

Beliau berkata dalam kenyataan akhbar, hari ini bahawa akibatnya, Proton Iswara tergelongsor ke hadapan melanggar tiga kenderaan lain yang berada di tempat sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Katanya siasatan lanjut masih diteruskan.

Sumber: Sinar Harian

 

Terlelap Ketika Memandu, Kereta Terbabas Masuk Sungai

Terlelap Ketika Memandu, Kereta Terbabas Masuk Sungai | Akibat terlelap ketika memandu, seorang lelaki cemas apabila keretanya terbabas dan menjunam ke Sungai Linggi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 5 pagi di laluan Lingkaran Tengah di sini, Zaini Abdullah, 30, dari Taman Abok Jaya, Rahang, dikatakan dalam perjalanan dari pusat bandar ke rumahnya.

Bagaimanapun, kereta yang dipandunya jenis Audi A6 hilang kawalan dan terbabas lalu terjunam ke dalam sungai.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi dan sepasukan tiga pegawai serta 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi mendapati sebuah kereta berada dalam sungai.

“Bagaimanapun mangsa tiada di dalam kereta walaupun enjin kenderaan masih hidup. Mangsa didapati sudah pulang ke rumahnya di Rahang, yang tidak jauh daripada lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa didapati dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. “Kami dimaklumkan mangsa terlelap ketika memandu menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan,” katanya.

Sumber : HMetro

Share.

Leave A Reply