Wanita Tipu Hidap Kanser. Ini Sebabnya. | Seorang wanita di Brazil memalsukan diagnosis kanser bagi menipu orang ramai untuk memberikan wang kepadanya, lapor akhbar Daily Mirror.
Camilla Maria Barbosa dos Santos, 27, didakwa mencukur rambutnya supaya kelihatan seperti sedang menjalani rawatan kemoterapi dan berbohong kepada orang ramai mengenai penyakit itu.
Wanita yang pernah disiasat atas kes penyelewengan itu memberitahu orang ramai bahawa dia mengumpul dana untuk rawatan.
Dia turut memberitahu polis bahawa dia didiagnos dengan kanser payudara pada 2017 dan sel kansernya telah berkurang.
Suspek kemudian mendakwa sel kansernya kembali pada tahun lalu yang merebak ke paru-paru dan ususnya selepas dijangkiti denggi. Polis bagaimanapun mendapati wanita itu gagal megemukakan bukti diagnosisnya.
Penyiasat polis mula melakukan siasatan ke atas suspek selepas beberapa penderma yang memberikan wang dan membayar ubatnya menjadi curiga tentang sikap wanita itu.
Polis juga mula menerima aduan mengenai pengumpulan dana sumbangan orang ramai dua bulan lalu sebelum siasatan dimuktamadkan pada 5 Januari lepas.
Selain tiada diagnosis rasmi, Hospital Araujo Jorge, iaitu tempat di mana Camilla mendakwa dia menjalani rawatan sejak Julai lalu juga menafikan bahawa dia ialah pesakit di sana.
Pihak hospital menafikan suspek menjalani tujuh rawatan kemoterapi dalam tempoh empat bulan di situ, selain menolak dakwaan rawatannya ditangguhkan kerana mereka kehilangan rekod perubatannya.
Polis mengesahkan bahawa suspek belum ditahan dan mengeluarkan imejnya supaya dapat mengenal pasti mangsa lain.
Sumber: Kosmo
Artikel Lain
Guna Gambar Pengasas Rumah Jagaan Menyamar, Tipu Pinjam Wang
Guna Gambar Pengasas Rumah Jagaan Menyamar, Tipu Pinjam Wang | Penipuan dalam talian (online scams) bukan perkara baharu. Ia telah berlaku di seluruh dunia sejak lama dahulu. Isu scammer atau penipu siber menjadi bualan hangat di kalangan netizen sejak kebelakangan ini. Banyak penipuan dalam talian dilapor seperti Macau Scam, penipuan pinjaman dan pelaburan, Love Scam dan juga kegiatan keldai akaun.
Kejadian yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan seorang Pengasas Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA) Kuala Selangor menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab meminta pinjaman wang dengan menggunakan gambarnya sebagai profil di aplikasi WhatsApp.
Shahril Hussein, 40, berkata, kejadian kira-kira pada jam 2 petang pada Rabu itu berlaku tiga kali dalam tempoh kira-kira 10 minit.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku apabila dia menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp yang menyamar kononnya seorang kenalan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk meminjam wang sebanyak RM3,800.
“Saya pelik sebab biasanya rakan tidak pernah pula meminjam wang daripada saya sebelum mengesyaki ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya kemudian hubungi rakan saya dan dia menafikan ada meminta pinjaman wang menggunakan nombor telefon lain dan memaklumkan ketika itu dia berada di Meru, Klang,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis (hari ini).
Sementara itu, Shahril berkata, dia kemudiannya telah menerima WhatsApp daripada seorang kerani yang memaklumkan ada pihak yang menggunakan gambar profilnya untuk meminjam wang.
“Kerani kemudian menghubungi saya untuk pengesahan dan saya memaklumkan nombor telefon terbabit palsu dan cuba memperdaya untuk mendapatkan wang,” katanya.
Beliau berkata, gambar profil dia sekali lagi digunakan pihak tidak bertanggungjawab kononnya ingin meminjam wang daripada seorang kenalan untuk baik pulih kerosakan van di pusat jagaan berkenaan.
“Rakan saya memaklumkan ada pihak guna gambar saya pada aplikasi WhatsApp untuk meminjam wang dan saya menyatakan ia palsu,” katanya.
Katanya, bimbang dengan taktik penipuan itu, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tanjong Karang pada jam 5 petang.
“Saya meminta pihak polis menyiasat kejadian ini dan berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan profil saya untuk mendapatkan wang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian