Warga Emas Dijumpai Dalam Lumpur Di Tapak Pembinaan.

| September 1, 2020 | 0 Comments

Warga Emas Dijumpai Dalam Lumpur Di Tapak Pembinaan. | KLUANG – Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang Ahad lalu ditemui terbaring dalam keadaan lemah di dalam lumpur di sebuah tapak pembinaan di Taman Kluang Barat pagi semalam.

lumpur

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa, Low Chon Tai, 67, ditemui oleh pekerja di tapak pembinaan itu kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, wanita itu dilaporkan hilang apabila didapati tidak pulang ke rumahnya di Taman Kluang Barat selepas keluar mencari bekas minuman dan kotak terpakai Ahad lalu.

“Anaknya, Chen Tiang Fock, 66, ada membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 10 malam hari kejadian mengenai kehilangan ibunya itu selepas tidak pulang ke rumah.

“Difahamkan ibunya itu telah keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang pada 30 Ogos lalu untuk mencari bekas minuman serta kotak terpakai, namun masih belum pulang walaupun sudah jam 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha pencarian dilancarkan yang turut disertai penduduk taman serta anggota polis keesokan harinya di sekitar rumah mangsa dan taman perumahan berdekatan, namun tidak membuahkan hasil.

“Dua anggota dari Balai Polis Kluang meneruskan usaha pencarian di kawasan Taman Kluang Barat, Taman Desa dan kawasan berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang semalam.

“Bagaimanapun kira-kira jam 11.30 pagi, pekerja di tapak projek pembinaan ternampak seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sedang terbaring dilonggokkan tanah liat dalam keadaan lemah dan tak bermaya,” katanya.

wanita

pembinaan

Mohd Abduh berkata, pekerja tapak pembinaan telah membantu mengangkat warga emas itu ke tempat selamat, sebelum menghubungi pasukan perubatan untuk mendapatkan bantuan.

“Anak wanita berkenaan semasa di wad kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang mengesahkan bahawa wanita warga emas berkenaan adalah ibunya yang dilaporkan hilang.

wanita hilang

“Pemeriksaan badan yang dilakukan mendapati beg duit serta sejumlah wang tunai, kad pengenalan selain kunci rumah masih berada di dalam poket seluar mangsa dan disahkan tiada unsur jenayah berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Abduh menafikan berita yang tular sejak semalam mengenai kejadian penemuan mayat seorang wanita dikuburkan hidup-hidup di sebuah tapak projek pembinaan di Kluang.

Katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenangnya menyebarkan berita tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat.

Sumber : SH

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *