Zayn Rayyan Ditemui Meninggal Dunia. Influencer Dedah Kisah Besarkan Anak Autism. | Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autisme yang dilapor hilang di kawasan kediaman di Apartment Idaman, Damansara Damai tengah hari semalam dilapor telah ditemui meninggal dunia.

zayn rayyan

Menurut Sinar Harian, mayat mangsa yang berusia enam tahun itu ditemui di anak sungai berhampiran kawasan kediaman sekitar jam 10 malam tadi.

Difahamkan, mayat mangsa telah ditemui oleh sekumpulan penduduk yang dikatakan turun membantu pasukan penyelamat dalam operasi mencari adik Zayn.

BERJURAI AIR MATA

Adik Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan berbaring mengiring dan disangka masih hidup dan tidur kepenatan. Namun, beliau sudahpun meninggal dunia.

Berjurai air mata walaupun bukan anak aku. Allahuakbar.

Aku juga ada anak autism, aku ada anak umur 6 tahun, aku ayah yang bersendirian membesarkan anak-anak. Aku faham betapa ralat dan bersalahnya perasaan seorang ayah dan apatah lagi ibunya.

Tengok video ayahnya pengsan dan ibunya menjerit Allahuakbar Allahuakbar sambil menangis memeluk tubuh kecil tak bernyawa tu sangatlah memilukan. Tak berhenti air mata mengalir.

Tragis. Aku mohon, janganlah put a blame on his mother. Janganlah kalian salahkan ibunya, jangan sesekali.

ELAKKAN KOMEN CUAI

Elakkan komen “cuai” “kerana kecuaian” dan sebagainya. Tuduhan cuai itu seolah menikam dan membunuh ibunya pula. Kalian yang tiada anak autism, kalian takkan faham.
Kenapa Rayyan tak ditemui walaupun lebih 32 jam pencarian, walhal berdekatan rumah sahaja tempat dijumpai tu?

Mengikut cerita, Rayyan pulang sekolah dan dibawa ibu ke taman permainan sekejap, namun selepas diajak pulang dia tidak berpuas hati, mungkin mahu bermain lebih lama. Jadi Rayyan “tantrum” disebabkan keinginan tidak dipenuhi atau juga “meltdown” apabila dia gagal mengawal emosi dan tidak melakukan stimming.

Anak begini biasanya akan lari mencari space atau ruang untuk stimming dan regulate emosi diorang.

ANAK – ANAK AUTISM AKAN MENGHILANGKAN DIRI

Dia akan menghilangkan diri, cari tempat yang tersembunyi dan terkepung (confine space) untuk dia duduk berdiam dan regulate emosinya dengan melakukan “stimming”.

Dia memang tidak mahu diganggu dan tidak mahu dijumpai oleh sesiapa. Jadi kalau dipanggil tidak akan sahut. Dia hanya akan menutup telinga dan berdiam diri sehinggalah emosinya kembali stabil dan dia dah ok.

Kalau panggil, kalau jerit pekik, lagilah dia tutup telinga dan berdiam diri sebab “sensory overload.” Dia akan memilih untuk terus menutup telinga dan berdiam diri.

Adalah sukar untuk mencari anak autism seperti anak aku ini jika dia memilih untuk lari dan bersembunyi.

Aku tulis ni berdasarkan pengalaman aku.

Aku yakin anak autism seperti Rayyan ini sama juga caranya melepaskan emosi apabila keinginan tidak dipenuhi. Dan mereka juga adalah pantas, untuk hilang, ia perlukan masa hanya beberapa saat.

Anak aku Khaleef sejak kecil sudah banyak kali hilang di tempat awam. Tak sampai 5 saat boleh hilang begitu sahaja.

Bukanlah aku cuai, tetapi aku ada 3 anak kecil yang semuanya aku kena tengok seorang diri. Ada kalanya, bagi tumpuan ekstra 5 saat kepada anak ini, anak itu pula hilang.

Ibu Rayyan juga sudah sebaiknya menjaga anak beliau. Sudah dibawa ke taman untuk penuhi hajat si anak, namun ibu perlu pulang dengan tangan pula penuh barang perlu dijinjing dan tangan anak perlu dilepaskan. Detik beberapa saat itulah Rayyan hilang.

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Allah beri kekuatan yang luar biasa kepada ibu dan ayah Zayn Rayyan untuk tenang dan redha atas kejadian yang berlaku.

Semoga Allah kurniakan ganjaran syurga atas ujian yang diberikan terhadap mereka.

Semoga Adik Zayn Rayyan sedang bergembira di taman syurga.

Untuk kita semua, berhentilah menghukum.

Ambil iktibar atas apa yang berlaku. Belajar mengenal sifat anak-anak autism, belajar memahami struggle ibu ayah yang membesarkan anak-anak autism serta anak-anak kelainan upaya yang lain.

Sama-sama kita sebagai ahli masyarakat mengambil berat terhadap keperluan orang di sekeliling kita.

Semoga kita semua lebih cakna.

Semoga kita semua lebih empati.

Sumber : Khairul Abdullah

Khalifah Media Networks

TERKINI : ZAYN RAYYAN MATI DI TEMPAT LAIN, 48 JAM SEBELUM DITEMUI

Hasil bedah siasat menunjukkan anak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, meninggal dunia 48 jam di lokasi lain sebelum ditemui.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher, berkemungkinan besar dicekik atau dijerut.

Katanya, bedah siasat petang tadi menunjukkan mangsa bukan meninggal dunia di lokasi mayatnya ditemui.

“Rumusan daripada bedah siasat dan usaha pencarian dijalankan pihak polis Petaling Jaya bersama masyarakat setempat selama dua hari yang melalui tempat sama, tidak bertemu mangsa.

“Sebaliknya, mangsa ditemui pada hari kedua lewat malam tadi.

MANGSA “DILETAKKAN” DI SITU

“Dari situ boleh dirumuskan mangsa tidak mati di tempat kejadian dan bukan lemas, mangsa mungkin mati di tempat lain sebelum (mayat) diletakkan di situ,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, kesimpulan itu turut mengambil beberapa indikator hasil bedah siasat petang tadi.

Mohd Shuhaily turut mendedahkan, ada kesan tekanan pada leher, menunjukkan mangsa mungkin dicekik.

MANGSA CUBA MEMPERTAHANKAN DIRI

“Bedah siasat menemui defensive wound (kecederaan akibat mempertahankan diri).

“Demi menjaga maruah Allahyarham dan keluarga, memadai saya cakap itu sahaja,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, anak sungai lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui adalah kawasan terpencil yang jarang dilalui penduduk, justeru pihaknya percaya suspek mengetahui selok-belok kawasan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek adalah penduduk setempat di tempat kejadian.

Petang tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mangsa mati dibunuh selepas bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan pada leher dan badan Zayn Rayyan.

Sehubungan itu, polis kini menyiasat kematian kanak-kanak austisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan sebagai kes bunuh selepas sebelumnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

MASIH MENCARI SUSPEK

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily, berkata siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan JSJ Bukit Aman akan membantu siasatan Polis Daerah Petaling Jaya, selain dibantu Polis Kontinjen Selangor.

“Kita sudah merencana operasi seterusnya untuk mengesan suspek, masih terlalu awal dalam mengenal pasti suspek.

“Kita ada beberapa strategi. Bagi pihak ibu bapa, saya merayu masyarakat setempat sekiranya mereka mempunyai apa juga maklumat, sekecil mana pun, datang kepada pihak polis untuk merungkai jenayah ini.

“Kita memandang serius jenayah kejam ini dan kita akan berusaha menjejaki suspek,” katanya.

Sumber Berita Harian

Share.

Leave A Reply