Adakah BENAR Hadis Tukang Azan Berleher Panjang Di Akhirat Kelak? Ini Jawapan Mufti KL | Dalam satu hadis Nabi SAW, “Para muazzin merupakan manusia yang panjang lehernya pada hari kiamat”. [Riwayat Muslim (387). Ini jawapan ulasan Mufti KL yang mengejutkan. Jom baca dan kongsikan.

Soalan: Apakah benar hadith yang mengatakan bahawa Muazzin (tukang azan) akan berleher panjang di akhirat?

JAWAPAN ADAKAH BENAR TUKANG AZAN BERLEHER PANJANG?

Berdasarkan persoalan di atas, kami melihat tugas melaungkan azan merupakan satu pekerjaan yang terpuji, bahkan ia lebih mulia daripada imam. Selain itu, azan merupakan salah satu daripada syiar Islam dan seruannya adalah berbentuk ibadah.

Adakah BENAR Hadis Tukang Azan Berleher Panjang Di Akhirat Kelak? Ini Jawapan Mufti KL

Bagi menjawab persoalan di atas, hadith tersebut terdapat di dalam Sahih Muslim:

Daripada Muawiyah RA, bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

الْمُؤَذِّنُونَ أَطْوَلُ النَّاسِ أَعْنَاقًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Para muazzin merupakan manusia yang panjang lehernya pada hari kiamat”. [Riwayat Muslim (387)]

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan mengatakan bahawa para ulama’ salaf dan khalaf telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadith ini, dikatakan bahawa hadith ini bermaksud ramai orang yang melihat rahmat Allah SWT kerana orang yang melihat ini akan memanjangkan lehernya untuk melihat apa yang mampu dicapainya. Ini bermaksud, mereka (para muazzin) memanjangkan leherkan mereka bagi melihat pahala (yang disediakan buat mereka).
[Lihat: al-Minhaj, 91,92/4]

Tambahan pula, sebahagian ahli tafsir menafsirkan firman Allah SWT di dalam surah al-Fussilat:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya melainkan yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta mengerjakan amal soleh sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam”. [Fussilat:33]

Di dalam tafsir Ibn Kathir [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 179/7] ketika menafsirkan ayat ini, dikatakan bahawa orang yang menyeru kepada perkataan yang baik adalah para muazzin yang soleh sebagaimana yang terdapat di dalam sahih Muslim (sebagaimana hadith di atas) dan juga di dalam sunan secara marfu’ iaitu:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْإِمَامُ ضَامِنٌ وَالْمُؤَذِّنُ مُؤْتَمَنٌ، اللَّهُمَّ أَرْشِدِ الْأَئِمَّةَ وَاغْفِرْ لِلْمُؤَذِّنِينَ
“Imam itu penjamin (bertanggungjawab terhadap solat makmumnya), sedangkan muazzin orang yang dipercayai. Ya Allah, berilah petunjuk kepada para imam dan ampunilah para muazzin”. [Lihat: Riwayat Abu Daud (517), Syeikh Syuaib al-Arna’outh menghukum hadith ini sebagai sahih]

Penutup

Kesimpulannya, bilal atau muazzin merupakan salah satu pekerjaan yang mulia dan terpuji di sisi Allah SWT. Tambahan pula, tugas ini memerlukan seseorang yang bertanggungjawab dan amanah kerana ia melibatkan waktu dan masa. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan sentiasa dirahmati oleh-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

PS: Inginkan lagi informasi tentang agama, tolong share artikel ni. Terima kasih.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan via Ohmedia

Share.

Leave A Reply