Hukum Imam Terlupa Baca Al-Fatihah Dan Cara Ganti Jika Terlupa.

| August 30, 2018 | 0 Comments

Hukum Imam Terlupa Baca Al-Fatihah Dan Cara Ganti Jika Terlupa. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Surah Al-Fatihah merupakan salah satu rukun dalam solat. Jika tidak membacanya sudah pasti solat yang kita dirikan tidak sah. Bagaimana pula jika dalam keadaan terlupa membaca surah al-Fatihah? Jika baru teringat terlupa baca al-Fatihah ketika rukuk apa perlu buat?

 

 

Untuk menjelaskan masalah ini, marilah sama-sama kita membaca penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan ini. Semoga apa yang dikongsikan ini dapat menambah ilmu pengetahuan kita bersama.

 

SOALAN :

Assalamualaikum ustaz. Seorang Imam terlupa untuk membaca al-Fatihah pada rakaat kedua dan terus membaca surah. Kemudian setelah berkali-kali ditegur oleh makmum, beliau terus rukuk dan meneruskan solat. Adakah sah solat yang didirikan?.

 

JAWAPAN :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat mempunyai rukunnya yang tersendiri. Ianya terbahagi kepada rukun fi’li yang berkaitan dengan perbuatan, rukun qauli yang bersangkutan dengan percakapan, rukun qalbi dan rukun maknawi. Kesemua rukun-rukun ini wajib dilakukan barulah solat yang ditunaikan menjadi sah.

Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya :” Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”

Riwayat Ibnu Majah (828)

Kata Imam al-Nawawi ketika berkomentar berkenaan hadis ini :

“ Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mhupun solat sunat.”

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab ( 3/283)

Ini memberi makna bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca

Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmuk.

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (3/288)

Ada tiga keadaan jika seseorang itu terlupa membaca al-Fatihah :

  • Jika dia terlupa membaca al-Fatihah dan teringat bahawa dia tidak membaca al-Fatihah dan pada ketika itu dia rukuk maka dia perlu bangun dan membaca semula surah al-Fatihah.
  • Jika dia teringat setelah dia bangun untuk rakaat seterusnya, maka bacaan al-Fatihah pada ketika itu, menjadi ganti untuk rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah. Sebelum salam, dia perlu bangun dan menambah rakaat serta sujud sahwi.
  • Jika dia teringat selepas memberi salam dalam waktu yang tidak terlalu lama, maka dia perlu bangun untuk menambah rakaat sebagai ganti rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah dan disusuli dengan sujud sahwi. Adapun jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian dia teringat bahawa ada satu rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini dia perlu solat semula.

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (2/288)

Bagi imam yang terlupa membaca al-Fatihah, solatnya tidaklah batal dan dia perlu menambah rakaat sebelum salam. Ini kerana rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah dianggap tidak bernilai. Oleh itu sebelum salam, dia perlu bangun dan tambah rakaat sebagai ganti kepada rakaat yang mana dia terlupa untuk al-Fatihah di dalamnya. Adapun, jika dia tidak bangun menambah rakaat sesudah salam dan berlalu dalam tempoh masa yang lama, maka solat yang dilakukannya sebelum itu tidak sah dan perlu mengulang semula solatnya.

Bagi makmum pula, mereka mempunyai dua pilihan jika imam terlupa membaca al-Fatihah :

  1. Terus mengikut imam dengan harapan dan anggapan bahawa imam akan menganti semula rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah. Jika Imam tidak mengganti rakaat pada akhir solat iaitu sebelum salam, makmum boleh berniat mufaraqah dan mengganti sendiri rakaat tersebut.
  2. Makmum terus berniat mufaraqah dan meneruskan solatnya secara sendiri.

Seeloknya hendaklah mengikut imam. Ini supaya tidak menimbulkan kekacauan dan kekecohan. Jika imam tidak juga mengganti rakaat sebelum salam maka dibenarkan kepada makmum untuk berniat mufaraqah.

Wallahu’alam

 

Kredit : Mufti WP

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *