10 Anggota Polis Mati Ditembak Tentera Pemberontak Di Myanmar | Perang yang berlanjutan antara pemberontak dan tentera junta Myanmar menjadi semakin runcing apabila 10 anggota polis dikatakan telah mati ditembak oleh tentera pemberontak selepas kumpulan tersebut dilaporkan menyerang balai polis di timur negara tersebut, baru-baru ini.
Perikatan tentera etnik di Myanmar yang terdiri dari beberapa kumpulan iaitu Tentera Arakan, Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang dan Tentera Perikatan Nasional Demokratik Myanmar dikatakan menyerang Balai Polis Naungmon, Shan awal pagi Sabtu bagi menentang tindakan keras tentera junta terhadap penunjuk perasaan anti kudeta seperti yang dilaporkan media tempatan.
Menurut laporan wartawan yang dipetik dari Al-Jazeera, sekurang-kurangnya 10 anggota dilaporkan mati di tempat kejadian selepas serangan tersebut namun dikatakan angka kematian tersebut telah meningkat menjadikan 14 kematian dan tiada komen telah diberikan oleh pihak tentera junta.
Tambahnya lagi, laporan dari negara jiran mereka iaitu Thailand mengatakan bahawa tentera etnik yang menyerang tersebut dikatakan antara tentera tertua di dunia yang telah bertempur bagi menentang pasukan pemerintah pusat selama berdekad lamanya.
Dikatakan selepas berlakunya rampasan kuasa pada 1 Februari yang lalu, banyak khabar angin telah menyebut tentang kerjasama yang berlaku di antara tiga kumpulan bersenjata tersebut namun belum pernah melihat kemunculan mereka. Namun hari ini terbukti bahawa berlaku kerjasama di antara ketiga-tiga kumpulan (turut diketuai oleh seorang anggota polis) yang menyerang balai polis tersebut sehingga mengakibatkan kematian.
Sekurang-kurangnya 700 kematian telah dilaporkan setelah mereka dikatakan telah dibunuh oleh tentera junta akibat daripada tindakan keras yang diambil bagi mengatasi pemberontakan terhadap pemrintahan mereka, menurut kumpulan pemerhati seperti yang dipetik dari Al-Jazeera.
Para pembuat dasar di Myanmar yang telah mengundurkan diri selepas berlakunya rampasan kuasa oleh tentera junta mengumumkan bahawasanya mereka telah membuat perbincangan bagi membentuk semula negara tersebut kepada ‘kerajaan perpaduan nasional’ dengan adanya pihak tentera etnik sebagai sekutu mereka.
Mereka juga dilaporkan sedang membuat perbncangan bersama beberapa orang berpangkat ‘Jenaral’ supaya menjadi sekutu mereka bagi menentang pemerintahan tentera junta.
Sumber: Al-Jazeera