10 Jenis Rumah yang Paling Jin dan Syaitan Suka |Pada kebiasaannya, rumah kosong atau rumah yang telah lama ditinggalkan sering dikatakan sebagai tempat yang menjadi tempat tinggal jin dan makhluk-mahkluk ghaib yang lainnya. Namun begitu, kadang-kala rumah yang masih berpenghuni dan didiami manusia juga turut dihuni oleh golongan ghaib ini. Sesuailah dengan sifat mereka yang suka mengganggu manusia, jin juga suka mengganggu kediaman manusia. Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?
Adakah tempat tinggal anda turut diganggu oleh jin? Di bawah ini, jadi kami menyenaraikan 10 jenis rumah yang paling disukai oleh golongan jin dan syaitan untuk didiami oleh mereka. Jom kita sama-sama semak, jangan biarkan tempat tinggal kita di ambil alih oleh mereka!!

1. Rumah Yang Dibina Di Kawasan Kubur
Jin suka berkumpul di kawasan perkuburan tidak kira sama ada kubur itu kubur lama atau kubur baru. Andai ada orang mati yang ditanam di situ, mayat orang dibuang di situ atau pernah cebisan-cebisan daging dan tulang-tulang manusia dibuang di situ, maka di situlah tempatnya jin akan berkumpul. Bukan itu sahaja, malah tempat yang pernah berdarah seperti tempat orang mati dibunuh juga sangat disukai oleh jin. Mungkin tempat-tempat seperti ini terdapat aura-aura negatif yang akan menarik jin untuk terus berada di situ.
Jadi cuba elakkan diri dari membina rumah yang didirikan berdekatan kawasan perkuburan. Jika ingin membeli rumah, selidiki dahulu sama ada tapak yang digunakan itu pernah menjadi bekas tanah perkuburan, sebagai contoh Apartment Puri Casablanca yang terletak di Jakarta merupakan apartment yang dibina di atas bekas tanah perkuburan Kristian. Selain itu, jika ingin membeli rumah terpakai, jangan membeli rumah yang di dalamnya pernah berlaku kes pembunuhan atau pun mati bunuh diri.
2. Rumah Yang Dibina Di Kawasan yang Ada Mata Air
Jin sangat suka tinggal di kawasan yang ada mata air. Mata air yang paling disukai oleh golongan jin ialah mata air yang tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau yang teruk. Justeru, berhati-hatilah dalam memilih tapak rumah kerana rumah yang dibina di atas tapak yang mempunyai mata air, akan menjadi tempat tinggal jin.
3. Rumah Yang Penghuninya Mengamalkan Ilmu Sihir
Jin suka berdamping dengan orang yang mengamalkan ilmu sihir. Jadi tidak hairanlah jika akan turut tinggal bersama dengannya. Ilmu sihir merangkumi ilmu guna-guna, ilmu pengasih, ilmu pembenci, ilmu pemanis, ilmu awet cantik, ilmu pelaris, susuk dan bermacam-macam lagi.
4. Rumah Yang Telah Disihir
Rumah yang telah disihir ialah rumah yang telah diletakkan atau ditanamkan di bawahnya sesuatu objek sihir oleh manusia yang berniat jahat. Selagi objek sihir itu ada di situ, maka jin sihir akan berada di rumah itu untuk melakukan gangguan sihir kepada penghuninya seperti yang dikehendaki oleh si penyihir.
5. Rumah Yang Di Dalamnya Menyimpan Objek Sihir, Tangkal Azimat Atau Yang Seumpamanya
Barang- barang lama seperti keris lama juga termasuk dalam kategori objek atau tangkal sihir yang mempunyai penunggu seperti jin. Objek-objek lama seperti ini selalunya menggunakan jin-jin untuk melaksanakan ilmu sihir yang dituntut.
6. Rumah Yang Didalamnya Berlaku Amalan Syirik dan Dipenuhi Maksiat
Syirik bermaksud menyekutukan Allah SWT yang Maha Esa dengan sesuatu yang lain. Penghuni rumah yang syirik, memuja syaitan, fasik, sengaja meninggalkan solat dan tidak berpuasa pada bulan Ramadhan tanpa sebab tertentu sangat disukai oleh syaitan dan iblis.
Di samping itu, perbuatan dosa seperti makan harta anak yatim, menyimpan dan meminum arak dan berjudi adalah perbuatan yang akan mengundang jin selain dari aktiviti maksiat seperti menonton video lucah dan berzina. Tanpa kita sedar, mendengar muzik yang melalaikan, menyimpan gambar-gambar bernyawa serta patung-patung di dalam rumah juga boleh menarik perhatian jin untuk datang tinggal di situ.
7. Rumah Yang Dibina Di Kawasan Yang Pernah Menjadi Tempat “Pembuangan” Jin-Jin
“Pembuangan” jin ini termasuklah pembuangan yang dilakukan oleh pengawal perubatan alternatif ketika melakukan rawatan kepada pesakit yang disampuk jin atau upacara membuang saka. Jin-jin ini akan dihalau atau dibuang ke suatu tempat yang jauh dari pesakit tersebut.
Biasanya apabila kita berpindah ke kawasan perumahan yang pernah dijadikan sebagai tempat “pembuangan” jin, pada awalnya keadaan adalah normal dan tidak ada kejadian-kejadian yang pelik. Namun lama-kelamaan jin-jin yang ada di situ akan mula menggangu terumatanya jika penghuni rumah tersebut tidak mendirikan solat, sepi dari azan, tiada bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, apalagi zikir dan selawat yang boleh menjadi pendinding dari gangguan makhluk-makhluk halus dan jin.
8. Rumah Yang Didiami Oleh Orang Yang Memiliki Jin Saka
Jin saka akan tinggal tinggal di dalam rumah bersama-sama pemiliknya. Ini kerana jin saka tidak akan pergi jauh dan akan sentiasa mendampingi tuannya. Ini termasuklah orang yang tidak mengetahui bahawa dirinya ada memiliki “jin saka” kerana “jin saka” tersebut akan memilih sesiapa sahaja dari kalangan keturunan keluarga tuannya yang disukai olehnya.
9. Rumah Yang Didirikan Di Tempat Yang Menjadi Laluan Jin
Laluan jin merupakan tempat jin keluar masuk daripada alam ghaib ke alam manusia atau sebaliknya. Jika ada rumah yang didirikan di kawasan ini, maka tidak mustahil penghuni rumah itu akan sentiasa diganggu kerana menghalang laluannya. Lebih teruk lagi jika rumah tersebut dijadikan sebagai tempat persinggahan atau tempat tinggal jin-jin yang keluar masuk di situ bagi memudahkan aktiviti mereka.
10. Rumah Yang Dimasuki Oleh Jin Liar Yang Mengikut Seseorang Semasa Pulang Ke Rumah.
Perkara ini selalu terjadi kepada seseorang yang pergi ke sesuatu tempat seperti hutan atau tempat-tempat yang agak ‘keras’ dan kemudian ada jin yang berkenan lalu mengikutnya pulang ke rumah tanpa dia sedari. Perkara ini lebih kerap terjadi jika seseorang itu keluar pada waktu senja atau pada lewat malam.
Jin tersebut dapat mengikutnya pulang kerana mungkin orang itu tidak mengamalkan sebarang amalan sebagai pendinding dan pelindung dari gangguan jin. Manakala rumahnya pula tidak ‘dipagar’ agar tidak dimasuki oleh makhluk-makhluk ghaib ini.
Sekiranya tempat tinggal anda tergolong antara 10 jenis rumah yang dinyatakan di atas, perbanyakkanlah amal ibadah di dalam rumah dan sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran. Paling penting solat jangan tinggal! Percaya atau tidak terpulang kepada anda namun jika ianya benar, hanya perlindungan daripada Allah yang diminta agar terhindar daripada gangguan makhluk halus, jin dan syaitan. Kepada pembaca-pembaca setia kisahseram.com, silakan kongsi artikel ini kepada semua, semoga bermanfaat kepada semua yang membacanya.
Kredit: Kisah seram