13 Beranak Hidup Tersepit, Empat Tahun Guna Tandas Sekolah | Seramai 13 beranak hidup dalam keadaan kedaifan dan tersepit apabila tandas di rumah mereka tersumbat sehingga tidak dapat digunakan sejak empat tahun lalu.

13 Beranak Hidup Tersepit, Empat Tahun Guna Tandas Sekolah

Keadaan itu menyebabkan Mohamed Ab. Majid, 58, yang be­kerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa membawa isteri, Wan Norhasliza Wan Yaakob, 45, dan anak-anaknya yang lain pergi ke tandas sekolah tempat dia bekerja sekiranya mereka mahu membuang air besar.

Lebih menyedihkan, kawasan semak di belakang rumah pusaka keluarga itu di Kampung Pasir Tok Kambing, Binjai di sini turut dijadikan sebagai ‘tandas segera’ sekiranya mereka terdesak mahu membuang air besar.

Menurut Mohamed, dia me­ngaku bahawa pendapatan bulanannya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga apatah lagi untuk membaiki tandas di rumah.

Katanya, paling memeritkan apabila mereka sekeluarga terpaksa mencatu makanan, malah sering menjadikan nasi berlaukkan gula dan nasi goreng kicap sebagai menu wajib di rumah.

“Saya tahu keluarga tidak selesa apabila tandas di rumah ini rosak. Kami tiada pilihan lain, sama ada pergi ke sekolah yang terletak kira-kira 4 kilometer dari rumah atau ke kawasan semak belakang rumah.

“Saya juga buntu terutamanya apabila anak-anak yang berusia 11 hingga 25 tahun mengadu kelaparan. Selain itu, saya perlu memikirkan mengenai isteri yang sakit mental dan perlu makan ubat untuk menjaga emosinya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya kelmarin.

Sementara itu, Mohamed memberitahu, rumahnya itu menerima bekalan air bersih yang cukup dan ahli keluarga boleh mandi di bilik air, cuma menghadapi kesukaran untuk membuang air besar.

Luahnya, selain pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan, isterinya juga menerima bantuan bulan sebanyak RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang digunakan untuk membeli ubat-ubatan.

Katanya, sebelum ini, per­belanjaan rumah dibantu oleh anak sulungnya yang bekerja sebagai pelukis grafik sebuah syarikat, namun kini dia hilang sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua bulan lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Mohamed Ab. Majid, 03018021658107 atau hubungi­nya di talian 014-207 3143.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply