13 Orang Maut Selepas Trak Bawa Minyak Petrol Terbakar.

| July 18, 2021 | 0 Comments

13 Orang Maut Selepas Trak Bawa Minyak Petrol Terbakar. | NAIROBI: Seramai 13 orang maut dan beberapa lagi kritikal dengan kesan bakar selepas sebuah trak membawa muatan petrol yang terbabit dalam kemalangan di Malanga, meletup.

Kejadian berlaku ketika orang ramai cuba mengambil limpahan petrol yang bocor daripada trak terbabit.

Pihak berkuasa memaklumkan trak berkenaan pada mulanya bertembung dengan sebuah kenderaan lain mengakibatkannya terbalik.

Orang ramai yang berada berhampiran kawasan kemalangan kemudiannya bergegas bersama tong minyak untuk mengambil limpahan petrol yang bocor.

Seorang penduduk, Jack Odhiambo, berkata dia dikejutkan dengan letupan yang kuat sebelum menyaksikan api marak dan beberapa orang terbakar.

Menurut seorang lagi saksi kejadian, Magdalene Adhiambo, orang ramai pada mulanya berhasil mengambil limpahan petrol itu namun cubaan kali kedua tidak berjaya selepas trak terbabit secara tiba-tiba meletup.

“Ketika itulah kebakaran bermula,” katanya.

Ketua Polis Daerah Siaya, Charles Chacha, berkata kejadian itu mengakibatkan seramai 24 orang cedera parah akibat kesan bakar termasuk kanak-kanak.

Katanya, pasukan penyiasat masih melakukan operasi mencari di kawasan kejadian dan tidak menolak kemungkinan jumlah mangsa akan meningkat.

“Jumlah mereka yang terbunuh ketika ini adalah seramai 13 mangsa. Semua mangsa yang terkorban sudah dihantar ke rumah mayat.

“Bagaimanapun jumlah ini mungkin akan bertambah,” katanya.

Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dua jam selepas kemalangan berlaku. Punca kejadian masih dalam siasatan. – AFP

Sumber : BH

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *