“Jaga SOP Saya Sudah Kehilangan Isteri Dan Anak Kerana Covid”. | SUNGAI PETANI: “Saya minta orang ramai jagalah prosedur operasi standard (SOP) kerana saya sudah kehilangan isteri dan anak kerana COVID-19. Kasihanilah anak, isteri dan suami masing-masing serta duduklah di rumah,” kata Mohd Fadli Abd Wahab, 35.

Mohd Fadli berkata, isterinya Umaisarah Azmi, 25, yang hamil tujuh bulan disahkan meninggal dunia jam 1.25 tengah hari semalam selepas dijangkiti COVID-19 dan anak dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.

Isterinya meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas mengadu sesak nafas dan sakit kepala teruk.

“Isteri tidak pernah menghidap penyakit atau mengalami alahan sejak mengandung anak ketiga. Bagaimanapun, dia mengejutkan saya kira-kira 4 pagi semalam selepas mengadu tidak boleh bernafas, kaki dan tangannya menjadi lemah.

“Saya terus membawanya ke HSAH kerana bimbang melihat keadaannya yang semakin lemah sebelum dia dimasukkan ke Zon Merah HSAH.

“Tidak lama kemudian doktor mengesahkan dia meninggal dunia akibat COVID-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fadli yang menetap di Kampung Pokok Asam di sini, tidak menyangka perubahan sikap isterinya yang tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi mereka adalah petanda dia akan pergi buat selamanya.

“Saya sentiasa menemani isteri di rumah kerana tempat kerja ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Saya agak terkilan kerana tak sempat bersama di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir dan hanya melihat tubuhnya kaku ketika doktor panggil untuk tujuan pengesahan,” katanya.

Menurutnya, dia bersama dua anaknya dan ibu mentua juga menjalani ujian saringan COVID-19 hari ini dan diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kuarantin hingga 26 Julai ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo ketika dihubungi mengesahkan berlaku kematian seorang ibu hamil di HSAH kerana COVID-19 dan keluarga mangsa juga diarahkan untuk kuarantin.

SUmber : BH

Share.

Leave A Reply