Lori Dipandu Terjunam, Lelaki Dikhuatiri Lemas Terjatuh Laut | Seorang lelaki berusia 33 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut apabila lori yang dipandunya secara mengundur terjatuh dari jeti pemunggahan arang batu di Jimah Power Plant, Port Dickson awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya telah menerima panggilan kira-kira pada pukul 1.53 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 2.19 pagi.
“Setibanya di lokasi kami dimaklumkan ada seorang lelaki dipercayai terjatuh ke dalam laut sedalam 20 meter ketika mengundur kenderaan (lori lima tan) yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan arang batu di jeti pemunggahan arang batu di Jimah Power Plant.
“Kami menjalankan pencarian mangsa di permukaan dan pada pukul 8 pagi ini kami akan memulakan penyelaman di dalam air menggunakan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ketika air surut ketika ini,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak bomba dimaklumkan ketika kejadian, terdapat lima orang yang sedang memunggah arang batu di jeti berkenaan.
“Empat orang yang lain adalah pekerja warga asing sedang membersihkan arang batu manakala mangsa yang terjatuh pula sedang mengundurkan lori yang membawa arang batu ketika kejadian,” katanya lagi.
Mohd. Hairul memberitahu, terdapat agensi lain yang terbabit yang membantu termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis.
Seramai lapan orang anggota PPDA terlibat dalam operasi berkenaan.
“Kami menggunakan tiga buah bot termasuk sebuah bot APMM, bot penyelamat bomba dan sebuah bot ‘amphibious inflatable’ (ARIB) dalam operasi pagi ini,” katanya.
Sumber: Kosmo