164 Pendaki Diselamatkan Dari Kawasan Gunung Berapi Meletus | Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarmas) pada Ahad memindahkan 164 pendaki dari kawasan Gunung Marapi yang meletus di bandar Padang, ibu kota wilayah Sumatera Barat.

Ketua bandar Padang Abdul Malik berkata, mereka mendaki Marapi dan gunung berapi itu mula memuntahkan abu pada 7 Januari, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Beliau berkata, pendaki itu ditemukan semasa operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh Basarnas dengan koordinasi bersama pasukan berkaitan dan penduduk tempatan.

Terdahulu, Marapi mula memuntahkan abu kira-kira 6.11 pagi 7 Januari (Sabtu). Sehingga petang 8 Januari (Ahad), sejumlah 22 letusan direkodkan dan bahaya di kawasan gunung berapi ini dinaikkan ke Tahap II – tahap amaran, lapornya.

Pihak berkuasa berkaitan di wilayah Sumatera Barat sudah mengeluarkan larangan aktiviti pendakian di kawasan Marapi sehingga keadaan kembali normal.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Video. Gunung Berapi Lumpur Meletus Di Sabah.

Video. Gunung Berapi Lumpur Meletus Di Sabah.| KOTA KINABALU – Satu kejadian gunung berapi lumpur telah berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu semalam.

Fenomena jarang berlaku itu turut tular di media sosial sejak malam tadi selepas video gunung berapi lumpur itu sedang meletus telah dimuat naik oleh individu yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.

Perkara itu juga menyebabkan orang ramai menjangkakan kemungkinan akan berlaku gempa bumi memandangkan kejadian gegaran semula jadi sudah menjadi perkara biasa di Sabah terutama selepas gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada tahun 2015.

Bagaimanapun, kewujudan gunung berapi lumpur bukan sesuatu yang baharu di Sabah, malah selain di Tabin, ia juga boleh ditemui di daerah lain antaranya di Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.

Kewujudan gunung berapi lumpur atau garuok dalam kalangan masyarakat Sabah, menyebabkan kawasan limpahan lumpur itu semakin luas.

Selain itu, antara kawasan yang dikesan wujud gunung berapi lumpur ialah di Kampung Tanjung Aru, Menumbok dan di Kampung Tenambak yang jaraknya kira-kira 40 kilometer dari Kampung Tanjung Aru, Kunak dan Tabin di Lahad Datu di kawasan pantai timur.

Sumber : Kosmo

 

Tsunami Landa Jepun Susulan Letusan Kuat Gunung Berapi Tonga

Tsunami Landa Jepun Susulan Letusan Kuat Gunung Berapi Tonga | Ombak tsunami setinggi satu meter dilaporkan melanda beberapa kawasan pantai di Jepun semalam susulan letusan amat kuat gunung berapi dasar laut di Tonga, lapor agensi berita Kyodo News.

Meskipun ombak itu tidak mengakibatkan kerosakan besar, kerajaan Jepun telah mengeluarkan arahan berpindah kepada hampir 230,000 penduduk sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi kaji cuaca Jepun mengeluarkan amaran tsunami tengah malam kelmarin untuk penduduk tepi pantai dari kawasan di Hokkaido hingga ke Okinawa sebelum ditarik balik 14 jam kemudian.

Menurut kenyataan agensi berkenaan, paras air laut akan naik dan turun buat sementara waktu, namun fenomena itu tidak mendatangkan risiko bencana.

Bagaimanapun, agensi tersebut meminta agar semua aktiviti di pantai seperti berenang dan memancing dihentikan untuk seketika.

Tsunami tersebut turut menyebabkan sebilangan bot nelayan terbalik dan menyebabkan kelewatan atau pembatalan pengangkutan awam.

Setakat semalam, seramai 229,000 penduduk di lapan wilayah termasuk Aomori, Iwate, Miyagi, Chiba, Tokushima, Kochi, Miyazaki dan Kagoshima diminta menjauhkan diri dari kawasan pantai.

Ombak setinggi 1.2 meter dikesan di Pulau Amami, barat daya Jepun sejurus sebelum tengah malam kelmarin, manakala ombak 1.1 meter tiba di wilayah Iwate tidak lama kemudian.

“Kami berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.. Ini mengingatkan kami tentang gempa bumi pada 2011,” kata Jiro Saito, 79 tahun, yang berlindung di kuil berdekatan bersama isterinya.

Perkhidmatan pengangkutan kereta api, udara dan maritim juga terjejas dengan 27 penerbangan domestik Japan Airlines termasuk keluar masuk Amami dibatalkan.

Kebimbangan mengenai tsunami merentasi Pasifik selepas beberapa siri letusan gunung berapi besar-besaran bermula pada petang Sabtu lalu di Kepulauan Tonga.

Memandangkan komunikasi dengan negara kepulauan Pasifik Selatan kekal terputus, negara-negara jiran masih berusaha untuk mengenal pasti tahap kerosakan atau kemalangan jiwa di lokasi kejadian.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply