17 M@ut Penunjuk Perasaan Bertempur Dengan Polis Di Peru | Sekurang-kurangnya 17 orang maut di Peru kelmarin, ketika penunjuk perasaan yang menyerbu sebuah lapangan terbang bertempur dengan pasukan keselamatan dalam siri keganasan terbaharu yang dicetuskan oleh krisis politik berbulan-bulan negara itu.

Babak terbaharu pertumpahan darah itu berlaku di bandar tenggara, Juliaca, dalam wilayah Puno.

Angka kematian sebelum ini iaitu 12 orang, kini meningkat ketika lima lagi daripada 40 yang cedera meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Seperti yang berlaku bulan lepas, penunjuk perasaan mendesak peletakan jawatan Presiden Dina Boluarte, yang berkuasa selepas penyingkiran dan penahanan bekas presiden, Pedro Castillo pada 7 Disember lepas.

Penyingkiran Castillo dilakukan selepas beliau cuba membubarkan Kongres dan mula memerintah menerusi dekri.

Bekas pemimpin tersebut sebelum itu menghadapi beberapa siasatan kes rasuah sekali gus mencetuskan pertempuran berminggu-minggu di seluruh negara.

Secara keseluruhan, dengan angka kematian baharu tersebut, pertempuran yang tercetus disebabkan penyingkiran Castillo kini telah menyebabkan 39 orang meninggal dunia di seluruh negara.

Menurut seorang pegawai di Hospital Calos Monge, mereka yang terbunuh kelmarin mempunyai kecederaan akibat ditembak.

“Polis menembak mereka. Kami menuntut Dina agar berundur. Terimalah kenyataan bahawa rakyat tidak mahu anda (mentadbir negara),” kata seorang penunjuk perasaan.

Sementara itu, Ketua Kakitangan Presiden, Alberto Otarola berkata, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan menyerang polis ketika cuba menyerbu lapangan terbang dengan senjata serta serbuk pistol.

Pada kelmarin, peserta tunjuk perasaan menghalang jalan-jalan di enam bahagian Peru termasuk kawasan-kawasan yang terkenal dalam kalangan pelancong.

Sumber: Kosmo

 

Artikel Lain

Rusuhan Di Peru Ragut 28 Nyawa

Rusuhan Di Peru Ragut 28 Nyawa | Gelombang rusuhan yang melanda Peru sudah meragut 28 nyawa sejak minggu lepas, menurut Pejabat Ombudsman pada Selasa.

Menurut laporan Pejabat Ombudsman, Sputnik melaporkan bahawa seramai 22 orang awam maut dalam pertempuran, enam orang akibat nahas jalan raya yang berkaitan dengan langkah sekatan susulan rusuhan itu.

Selain itu, 661 orang termasuk 371 orang awam dan 290 pegawai polis cedera dalam rusuhan ini.

Bantahan terhadap kerajaan sementara mula tercetus di seluruh Peru berikutan pemecatan dan penyingkiran bekas presiden Pedro Castillo pada 7 Disember.

Perdana Menteri, iaitu Dina Boluarte telah mengangkat sumpah sebagai presiden baharu dua jam selepas Castillo disingkirkan.

Boluarte kemudian telah mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya presiden pada 2024 namun, beliau tidak menolak kemungkinan pemilihan akan diadakan lebih awal iaitu pada Disember 2023.

Sumber: Sinar Harian

 

Kes Rusuhan Stadium Kanjuruhan, Ketua Polis Malang Dipecat

Ketua Polis Malang, Indonesia dipecat manakala sembilan pegawai elit polis digantung tugas berkuat kuasa semalam, berhubung insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Sabtu lalu yang mengorbankan 125 nyawa serta mencederakan 323 mangsa.

Kes Rusuhan Stadium Kanjuruhan, Ketua Polis Malang Dipecat

Jurucakap Polis Negara, Dedy Prasetyo mengesahkan, Ketua Polis Malang, Ferli Hidayat dipecat semalam, manakala sembilan anggota polis elit yang digantung tugas berdepan hukuman sama jika didapati bersalah dalam perbicaraan tatatertib.

“Seramai 19 pegawai polis lain yang bertanggungjawab menembak gas pemedih mata itu juga sedang disiasat.

“Polis juga sedang menyoal siasat saksi dan menganalisis video daripada 32 kamera keselamatan di dalam dan luar stadium serta sembilan telefon bimbit milik mangsa sebagai sebahagian daripada siasatan yang akan turut mengenal pasti suspek,” katanya.

Presiden Joko Widodo mengarahkan liga bola sepak perdana digantung sehingga keselamatan dinilai semula dan tahap keselamatan diperketatkan.

Menteri Keselamatan Mohammad Mahfud berkata, beliau akan mengetuai siasatan bagi meneliti pelanggaran undang-undang dalam insiden itu dan memberikan cadangan kepada presiden untuk meningkatkan keselamatan bola sepak.

Selain itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International menggesa Indonesia menyiasat penggunaan gas pemedih mata dan memastikan mereka yang didapati bertanggungjawab dibicarakan di mahkamah terbuka.

Walaupun FIFA tidak mempunyai kawalan ke atas permainan domestik, badan itu menasihatkan supaya tidak menggunakan gas pemedih mata di stadium bola sepak.

Persatuan bola sepak Indonesia juga melarang Kelab Arema FC daripada menganjurkan perlawanan bola sepak sepanjang musim ini.Presiden Arema FC, Gilang Widya Pramana melahirkan kedukaan serta memohon maaf kepada mangsa dan rakyat Indonesia.

“Saya bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas tragedi di stadium.

“Saya sedia menghulurkan bantuan, walaupun ia tidak akan dapat mengembalikan nyawa mangsa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Arema di Malang, semalam.

Sumber : Buletin TV3

Share.

Leave A Reply