KULAI – Polis memburu dua tahanan warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, tahanan tersebut dikenali sebagai Riki Rinaldi, 40 dan Samirudin, 36.

Beliau berkata, kedua-dua tahanan telah membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

“Suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada jam 8 pagi, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini.

“Kesemua tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

“Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke Penjara Ledang, dua tertuduh telah membuka gari dan pintu belakang van sebelum melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Beng Yeow, tiga anggota Maritim telah ditugaskan membawa kesemua tertuduh ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan pada jam 11.20 pagi.

“Operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dengan bantuan unit pengesan anjing K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Selain itu, Op Tutup turut dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi bilik gerakan di talian 07-6637222,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Baca Juga: Seorang Lelaki Meninggal Dunia Dalam Tahanan Penjara. Ini Puncanya. | PETALING JAYA: Seorang lelaki yang ditahan atas kesalahan dadah dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di Penjara Satelit Beranang, Beranang, Selangor selepas disyaki diserang sawan, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi kelmarin, anggota bertugas dimaklumkan bahawa orang kena tahan (OKT) disyaki diserang sawan dan menghubungi pihak hospital.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, petugas hospital tiba di penjara terbabit pada pukul 10.45 pagi dan membuat pemeriksaan sebelum OKT dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Semasa dalam perjalanan ke hospital, Penolong Pegawai Perubatan mengesahkan OKT meninggal dunia dan punca kematian belum diketahui,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit tidak mengaku salah dan tiada penjamin.

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu,” jelasnya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply