3,000 Pekerja Dijangka Hilang Pekerjaan Sekiranya Banyak Bank Ditutup | Perbankan digital yang semakin menjadi pilihan pengguna sedikit sebanyak agak menggugat sistem perbankan sedia ada yang sudah digunakan sejak sekian lama.

3,000 Pekerja Dijangka Hilang Pekerjaan Sekiranya Banyak Bank Ditutup

Disebabkan oleh peralihan pelanggan ke perbankan digital, kira-kira 3,000 pekerja dijangka akan kehilangan pekerjaan pada 10 tahun akan datang sekiranya hampir 600 cawangan bank di Malaysia ditutup.

Setiausaha Agung Kesatuan Nasional Pekerja Bank (Nube), J Solomon berkata meskipun bank mencatat peningkatan perkhidmatan digital namun belum ada perbincangan kritikal mengenai kesan peralihan itu yang bakal mencetuskan penutupan operasi cawangan bank.

Ini bukan sekadar kebimbangan terhadap ruang lingkup siber, mesin, keuntungan dan pulangan kepada pemegang saham sahaja. Malahan ia menajadi satu kerisauan terhadap kebajikan para pekerja dan juga keluarga mereka.

Syarikat perunding terkemuka Eropah, Roland Berger dalam kajian terkininya bertajuk Branching out – The future of retail banking networks baru-baru ini menjangkakan hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia mungkin ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang. pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

Sehubungan itu, Solomon berkata, Nube memohon kerajaan dan majikan bank berbincang dengan persatuan itu bagi mengetahui hala tuju operasi selepas langkah penutupan cawangan dilaksanakan. Nube turut menggariskan beberapa cadangan kepada majikan termasuk langkah meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula pekerja selain pengekalan atau penempatan semula pekerja kepada peranan lain untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan apabila ekonomi kembali pulih serta berkembang pesat.

Pihak bank turut perlu melatih para pekerja mereka dengan mengembangkan potensi sedia ada dengan menjangkaui tugasa sedia ada mereka bagi persiapan di masa depan.

Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan sangat ‘bersemangat’ untuk meneruskan agenda digitalisasi dan perbankan digital namun masih belum ada cadangan jelas mengenai bagaimana bank harus melindungi keselamatan pekerja yang terjejas.

Sumber: Harian Metro

 

Share.

Leave A Reply