Sila Lapor Polis Jika Dapati Jiran Langgar SOP Aidilfitri | Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, masih ramai lagi yang cuba untuk pulang ke kampung dengan pelbagai cara. Meskipun kebanyakkan mereka akan ditahan namun semestinya akan ada yang berjaya sampai ke kampung dengan menggunakan taktik yang kotor.

Sila Lapor Polis Jika Dapati Jiran Langgar SOP Aidilfitri

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan mematuhi kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata, maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.

Katanya, polis perlis juga akan meningkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan…termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi.

Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan berada di rumah kecuali ada urusan penting.

Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus berbanding hari biasa.

Katanya, peningkatan ini berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak mereka yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi di sekitar negeri ini untuk pulang beraya selain kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.

Katanya, pada hari raya nanti, pihaknya akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Beliau juga berharap orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply