PETALING JAYA – Sebanyak 228 pencawang di Terengganu ditutup, berikutan keadaan hujan lebat dan banjir ketika ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline menerusi kenyataan di Facebook berkata, tindakan itu diambil demi keselamatan pengguna setempat.

“Kawasan yang masih belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat ialah di tiga daerah iaitu di Kemaman, melibatkan 173 pencawang, Kuala Berang (50) dan Setiu (5),” katanya.

Katanya, usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, namun bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

“Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” katanya.

Selain Terengganu, 94 pencawang di empat daerah di Kelantan turut ditutup atas faktor sama.

“Kawasan terlibat ialah di Pasir Mas, dengan jumlah terbanyak iaitu 59 pencawang, Pasir Puteh (22), Tanah Merah (lapan) dan Kota Bharu (lima) menjadikan jumlah pencawang yang ditutup di kedua-dua negeri adalah sebanyak 322 pencawang,” katanya.

Sumber: Kosmo

 

Banjir Makin Teruk, Mangsa Di Tiga Negeri Meningkat

Keadaan banjir di tiga negeri membabitkan Kelantan, Terengganu dan Perak semakin bertambah buruk berikutan hujan berterusan, sekali gus mencatat pertambahan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Banjir Makin Teruk, Mangsa Di Tiga Negeri Meningkat

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada awal pagi tadi mengeluarkan amaran cuaca tahap bahaya dengan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan bermula hari ini hingga Selasa.

Hujan lebat berterusan peringkat buruk dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kedah, Kelantan, Perak dan Pahang dalam tempoh sama, manakala amaran hujan berterusan peringkat waspada dikeluarkan membabitkan Perlis, Pulau Pinang selain beberapa kawasan di Kedah, Perak serta Johor.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,320 orang daripada 975 keluarga petang ini, berbanding 1,584 orang daripada 490 keluarga pagi tadi membabitkan 32 PPS di tujuh jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Menurut laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, empat sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 35.37 meter (m), Sungai Lanas dekat Jeli (29.74m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.21m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (9.64m).

Di Terengganu, jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS meningkat mendadak kepada 1,866 orang daripada 512 keluarga berbanding 47 orang daripada 13 keluarga pagi tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), 38 PPS dibuka di enam daerah iaitu satu di Kuala Terengganu, Dungun (dua), masing-masing lima di Setiu dan Kemaman, Hulu Terengganu (12) dan Besut (13) setakat ini.

Seramai 13 orang daripada tiga keluarga terbabit di Kuala Terengganu, Setiu (196 orang daripada 67 keluarga), Dungun (19 orang daripada empat keluarga), Kemaman (459 orang daripada 107 keluarga), Besut (718 orang daripada 188 keluarga) dan Hulu Terengganu (461 orang daripada 143 keluarga).

Keadaan cuaca dilaporkan hujan di beberapa kawasan dengan kadang kala hujan lebat sejak pagi tadi.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memberi amaran mengenai beberapa kawasan di daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman yang dijangka dilanda banjir mulai hari ini berdasarkan simulasi model ramalan banjir JPS.

Di Perak, seramai 47 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, setakat 2 petang tadi.

Ditemui di PPS SK Sungai Tiang Darat, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sembilan lokasi pam di daerah ini akan dibina dan dipasang segera seperti dicadangkan Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah sebagai langkah penyelesaian masalah banjir di Bagan Datuk.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa banjir di Segamat kekal 75 orang daripada 21 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 34 orang, Balai Raya Kampung Kuala Paya (27 orang) dan Dewan Komuniti Kampung Tasek (14 orang).

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply