4 Mat Rempit Ditahan Pukul Anggota Polis Pada 1 Syawal | PONTIAN – Empat lelaki termasuk dua beradik dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang anggota polis, pada pagi 1 Syawal.

Tertuduh, Mohamad Haikal Abdul Karim, 23, Khalid Khamis, 38, Mohamed Effendi Mohamed Said, 40 dan adiknya, Muhammad Fazli Mohamad Said, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abd Moati.

Mengikut kertas pertuduhan, Khalid, Mohamed Effendi, dan Muhammad Fazli didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menghalang Lans Koperal Muhammad Hasrull Mohd Namiri daripada melaksanakan tugasnya.

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer (km) 7, Jalan Kulai menghala Kota Tinggi, pada kira-kira pukul 3 pagi pada Sabtu lalu dan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bagi Mohamad Haikal pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Hasrull dengan menggunakan kaki dan tangan di lokasi sama dan tertuduh didakwa mengikut, Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membenarkan Mohamad Haikal diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin, manakala Khalid, Mohamed Efendi dan Muhammad Fazli, masing-masing dijamin RM2,000 seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 30 April ini di Mahkamah Majistret Kulai untuk hukuman.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: 2 Lelaki Terlibat Pukul Pemandu Treler Berjaya Ditahan

KLANG – Polis berjaya menahan dua lelaki yang terlibat memukul seorang pemandu treler dalam kemalangan maut mengorbankan seorang murid perempuan di Kampung Telok Gong, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 38 tahun susulan laporan dibuat pemandu treler berusia 36 tahun itu pada Khamis lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Kita juga telah mengenalpasti seorang lagi suspek dikenali Muhammad Putra Abdullah, 31, yang juga dipercayai terlibat dalam kes ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek dan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan usaha mengesan dan menangkap suspek-suspek lain yang terlibat dalam kes itu sedang giat dilakukan polis.

Tambah Hoong Fong, seramai enam orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung insiden pukul itu.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 / 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat terhadap harta benda,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki bertindak memukul pemandu treler dan memecahkan cermin depan jentera berat itu selepas terbabit dalam kemalangan mengakibatkan murid perempuan berusia sembilan tahun maut di Kampung Telok Gong di sini, 22 Mac lalu.

Ini menyebabkan pemandu itu cedera di pipi kanan, lebam mata serta sakit di seluruh anggota badan dan dibawa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply